Bekas pekerja asing buka restoran ala ‘kedai tomyam’ di India, usaha perkenal pelbagai menu Malaysia dapat pujian
PENGALAMAN bekerja di restoran sebagai tukang masak tidak disia-siakan apabila seorang pekerja asing membuka restoran dengan masakan Malaysia di India.
Lelaki dikenali sebagai Kani Boy itu mencuri perhatian apabila tular video dia mempromosikan restorannya yang diberi nama 'Tomyam Malaysia' menawarkan pelbagai menu tempatan popular seperti nasi lemak, nasi ayam, rojak, mi sotong dan sate.
Bukan itu sahaja, Kani turut menyajikan hidangan dari negara Asia Tenggara lain misalnya ayam penyet (Indonesia) dan tomyam (Thailand) yang turut popular di Malaysia.

Apa mencuit hati ramai, aksi Kani mempromosikan restorannya dengan menunjukkan poster contoh semua masakan yang disediakan.
Bagaikan berada di Malaysia, Kani jelas mengambil konsep kedai 'tomyam' yang popular di Malaysia bagi menarik perhatian pelanggan dengan memaparkan poster dan gambar makanan dalam saiz besar.
Malah Kani menggunakan bahasa Melayu pada setiap gambar makanan yang dipaparkan.
Sementara itu, menerusi komen netizen di TikTok, Kani dipercayai pernah bekerja sebagai tukang masak di Malaysia sebelum pulang ke negaranya dan membuka restoran tersebut.
MENARIK DIBACA: [V] Gabungan dua dalam satu, letupan rasa matchamisu buat ramai mula ketagih
MENARIK DIBACA: Ais krim laici ‘homemade’ buat ketagih, perah lemon sikit memang terangkat rasanya
Berdasarkan tinjauan di laman Facebook miliknya, Kani dilihat kerap berkongsi perkembangan restoran itu termasuk ulasan pelanggan yang datang mencuba sendiri keenakan menu jualannya.
Malah, dalam satu hantaran lain, lelaki itu sempat berterima kasih atas sokongan diterimanya dari rakyat Malaysia selepas kedainya mula tular di media sosial.
“Saya nak ucapkan jutaan terima kasih atas sokongan padu dari warga Malaysia. Saya rasa sangat terhutang budi dengan anda semua,” katanya.
Difahamkan, restoran Tomyam Malaysia itu mula beroperasi sejak 2 Julai lalu.

Sementara itu, rata-rata netizen meluahkan rasa bangga dan terharu melihat kesungguhan dan keikhlasan Kani mempromosikan hidangan Malaysia di luar negara.
“Tersentuh hati tengok dia namakan restoran itu ‘Tomyam Malaysia’. Tanda mereka hormat pada masakan kita!
“Kedai itu nampak macam restoran di Malaysia! Siap guna Bahasa Melayu dan nampak bersih!
“Bijak betul dia ni – sempat belajar masakan kita masa duduk di Malaysia dulu kemudian buka restoran," komen netizen.