KUALI | Trending

Tempoyak sajian kampung setanding blue cheese dan miso

Lead Image

TEMPOYAK, sajian tradisional dianggap ‘kampung’ kini berdiri setanding makanan eksotik lima bintang dunia termasuk blue cheese dari Eropah atau Miso dari Jepun. 

Memberikan kombinasi rasa masam, manis dan berlemak serta aroma tajam, sajian warisan itu layak diketengahkan di meja restoran bertaraf bintang Michelin. 

Keistimewaan rasa tempoyak bukan saja sesuai untuk masakan, tetapi dijadikan aiskrim memberikan rasa berani namun menggoda. 

Dihidang bersama madu kelulut, aiskrim tempoyak memberikan rasa manis berasid dalam setiap suapan. 

Pencuci mulut itu juga enak dinikmati dengan taburan serunding kelapa rangup mencipta rasa kompleks antara masam, manis dan lemak.

Keunikan rasa tempoyak turut dijadikan sebagai aiskrim.

Inovasi tempoyak 

Antara revolusi menarik lain adalah Espuma tempoyak, buih halus terhasil melalui teknik gastronomi molekul. 

Tekstur ringan, rasa masam-manis berlemak, formulasi itu sesuai dijadikan elemen hiasan atau sos sempurna bagi menu berasaskan makanan laut seperti udang harimau panggang. 

MENARIK DIBACA: Chef AI ketua operasi dapur restoran di Dubai, cipta menu ikut diet pelanggan 

MENARIK DIBACA: Durian bukan ‘superfood’, pesakit diabetes jangan jadikan alasan makan sampai lupa diri

Selain itu, kontras rasa tempoyak juga sesuai diolah menjadi vinaigrette atau sos salad eksotik. 

Gabungan tempoyak dengan cuka menambah lagi aroma bagi padanan ulam tempatan seperti daun selom, bunga kantan dan petai muda sebagai bahan asas salad lokal.  

Tempoyak menjadi simbol identiti budaya diberi nafas di mata generasi muda

Perkembangan kulinari warisan 

Timbalan Presiden, Persatuan Gastronomi Malaysia, Chef Fadzly Che Omar berkata, rasa kompleks masam, lemak, masin pada tempoyak memberi nilai tambah dalam dapur kontemporari.

Jelasnya, apabila ditampilkan secara moden dan estetik tempoyak menjadi simbol identiti budaya diberi nafas di mata generasi muda.

“Tempoyak boleh menggantikan bahan seperti miso atau ikan bilis sebagai asas umami yang menggabungkan rasa masam, manis dan masin serta pahit pada lidah. 

“Ramai cef moden mengambil inisiatif bereksperimen dengan tempoyak dalam bentuk pasta, risotto atau dressing salad,” ujarnya. 

Aneka hidangan berasaskan tempoyak diperkenalkan dalam dunia fine dining.

Sajian mewah berasaskan tempoyak

Sebagai cef profesional, katanya tempoyak mempunyai potensi besar dalam dunia fine dining.

“Gabungan teknik kulinari moden seperti emulsifikasi, infusi dan fermentasi terkawal dapat menghasilkan sos tempoyak atau mousse untuk hidangan eksklusif. 

“Sos emulsi tempoyak digandingkan dengan ikan bakar atau dijadikan komponen amuse-bouche (menu pembuka selera) memberikan dimensi luar biasa tetapi elegan,” katanya.

Pendekatan kreatif tempoyak bukan sekadar warisan tetapi simbol evolusi rasa.

Ikut perkembangan kulinari 

Jelasnya, menerusi pendekatan kreatif tempoyak bukan sekadar warisan, tetapi simbol evolusi rasa yang terus relevan dalam dunia kulinari moden.

Katanya, perkembangan landskap kulinari tempatan dan peranan figura seperti Datuk Chef Ismail, tempoyak menjadi hidangan signature restoran mewah dan hotel bertaraf lima bintang. 

“Jika ingin cuba sendiri dirumah, saya cadangkan menu ringkas seperti spageti tempoyak udang pedas berkrim.

“Menu ini sesuai untuk lidah masyarakat tempatan kerana rasa pedas berlemak tetapi diberi sentujan selera moden.

“Bahan-bahan juga mudah termasuk bawang besar, cili padi, krim masakan dan spageti dimasak dengan tempoyak,” jelasnya.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Mampu ingat resipi tanpa dicatat, Fazley Yaakob miliki otak ‘photographic memory’

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Bekas pekerja asing buka restoran ala ‘kedai tomyam’ di India, usaha perkenal pelbagai menu Malaysia dapat pujian 

Terhangat