KUALI | Trending

Mampu ingat resipi tanpa dicatat, Fazley Yaakob miliki otak ‘photographic memory’

Lead Image

SUATU ketika dahulu gelaran 'abang asmara' cukup sinonim dengan penyanyi Datuk Fazley Yaakob susulan lagu berjudul Asmara Ini menjadi siulan peminat.

Disebabkan lagu itu juga, nama Fazley kekal dibibir peminat malah lagu tersebut menjadi pilihan kalau ke pusat karaoke.

Selepas 26 tahun, sudah banyak yang berubah malah Fazley kini tidak hanya dikenali sebagai penyanyi tetapi usahawan dan cef selebriti yang disegani.

Karier dalam bidang kulinari bermula apabila Fazley atau Ahmad Fadzli Yaakob, 47, menyertai program realiti masakan iaitu MasterChef Selebriti Malaysia pada 2012 dan bergelar juara!

Kemenangan yang diraih itu ternyata telah 'memutar' kehidupannya sebagai artis kepada seorang tukang masak, walaupun awalnya mengakui tidak minat dalam dunia kulinari.

Fazley mahu dilihat sebagai seorang tukang masak yang memiliki sentuhan berbeza terhadap hidangan yang dihasilkan.

"Sejujurnya ketika menyertai MasterChef Selebriti Malaysia, saya tidak minat dalam bidang masakan, namun saya gemar melihat orang memasak.

"Ketika arwah Wan (nenek) memasak, saya akan bantu tiup api pakai buluh kerana Wan menggunakan dapur kayu," katanya kepada Kuali.

Cinta dan minatnya terhadap bidang masakan bagaimanapun berputik selepas diumumkan sebagai pemenang ketika minggu pertama pertandingan.

Sejak itu, Fazley tidak lagi menoleh ke belakang dan berusaha memanfaatkan kelebihan yang dimilikinya untuk berentap dalam pertandingan.

"Saya memiliki otak bersifat 'photographic memory' iaitu boleh mengingati langkah memasak, rasa dan bau walaupun telah bertahun-tahun berlalu.

MENARIK DIBACA: Muaz Mohsin ‘terer’ masak kari kepala ikan, pernah kerja tukang masak sebelum jadi pelakon

MENARIK DIBACA: [V] Tak payah ikat perut sebab nak kurus, kerabu campur menu diet seimbang tapi mengeyangkan!

"Keadaan itu memberi kelebihan untuk saya sepanjang bertanding sehingga menjadi juara MasterChef Selebriti Malaysia dan jatuh cinta dalam dunia kulinari pada usia lewat 30-an," ujarnya.

Terbang jauh

Enggan mensia-siakan kemenangan yang diraih berlalu begitu sahaja, penyanyi yang pernah membintangi filem Janji Diana itu seterusnya mengambil peluang melanjutkan pengajian dalam bidang masakan di Institut Kulinari Le Cordon Bleu di Paris, Perancis pada 2013 untuk menambah ilmu di dadanya.

Kegigihan Fazley dalam mendalami ilmu masakan tidak main-main kerana dia turut menuntut ilmu dalam bidang masakan di beberapa buah negara lain seperti di India dan Thailand.

Kata Fazley, selain mengumpul pengalaman dia juga mahu mengumpul kertas kelayakan sebagai seorang cef supaya menjadi bukti bahawa dia layak untuk bergelar seorang tukang masak profesional.

"Dunia kulinari bukan sahaja menjadikan saya seorang tukang masak, tetapi juga membawa saya menerokai bidang lain seperti jururunding masakan, guru dan penulis buku.

Saya memiliki otak bersifat 'photographic memory' iaitu boleh mengingati langkah memasak, rasa dan bau walaupun telah bertahun-tahun berlalu.

Datuk Fazley Yaakob

Cef Selebriti

"Alhamdulillah, rezeki saya juga bertambah apabila menjadi menjadi jurucakap untuk lebih daripada 100 jenama tempatan dan antarabangsa dalam masa lebih kurang 10 tahun," ujarnya yang kini menyandang jawatan sebagai Profesor Madya di Universiti Wollongong, Australia kampu di Malaysia.

Bercakap tentang kekuatannya dalam dunia kulinari, dengan bangga Fazley memberitahu dia berpegang pada prinsip 'saya anak kampung' dalam setiap setuhan masakannya. 

Walaupun terbang merata ke negara orang, Fazley masih tetap berpegang pada jati dirinya sebagai seorang anak kampung dari Rembau, Negeri Sembilan dengan menjunjung tinggi masakan daging salai masak lemak cili api.

"Sebagai anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan, masakan daging salai masak lemak cili api merupakan 'forte' yang begitu dekat di hati saya.

"Kalau perasan, kebanyakan air tangan saya pasti ada unsur 'masak lemak' yang ditransformasi dalam masakan termasuk hidangan barat.

Tidak cukup dengan pengalaman, Fazley juga mahu mengumpul kelayakan supaya dilihat relevan bergelar seorang tukang masak.

"Antaranya, saya pernah buat donat dan pasta berasaskan masak lemak cili api," ujarnya.

Kalis kecaman

Namun untuk menghasilkan hidangan sebegitu, kata Fazley ada harga yang harus dia bayar dan ia cukup mahal. 

Kata Fazley tidak semua boleh menerima idea dan kreativiti luar kotak yang dia hidangkan sehingga menjadi mangsa kecaman dan amarah segelintir netizen selepas dituduh merosakkan nilai tradisi masakan.

"Ketika saya buka restoran Suka Sucre dan melahirkan pasta daging masak lemak cili api, saya dihina dan dimarahi netizen apabila menuduh saya merosakkan citra pada masakan tradisi.

"Tapi tidak sampai seminggu, hampir 50 buah restoran lain juga melancarkan pasta masak lemak cili api dalam menu mereka. Itu tandanya apa?" ujarnya.

Pasta masak lemak cili api daging salai yang diperkenalkan Fazley menerusi restorannya, Suka Sucre teruk dihentam netizen yang tidak boleh menerima idea tersebut.

Walaupun teruk dihentam, dia tidak pernah berkecil hati atau menyimpan rasa marah atas tohmahan yang dilemparkan padanya.

Bagi Fazley, dirinya sudah ibarat kalis kecaman kerana sebelum bergelar seorang cef lagi, dia sudah melalui pengalaman serupa ketika awal kemunculannya dalam bidang seni suara.

"Saya sudah lali dengan kecaman. Ketika aktif menyanyi, saya sudah merasai semua itu (dikecam). 

"Pengalaman lalu menjadikan saya lebih kuat untuk bertahan dengan dunia netizen. Selepas menjadi cef, saya sudah tidak ada rasa apa-apa bila dikritik.

"Ibarat kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'. Kritikan adalah asam garam apabila seseorang itu menjadi milik masyarakat," katanya mengakhiri perbualan.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

Wanita fasih berbahasa Mandarin jual asam pedas buat ramai kagum, jadi jambatan merapatkan bangsa dan budaya

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Tempoyak sajian kampung setanding blue cheese dan miso

Terhangat