KUALI | Menu Viral

Durian bukan ‘superfood’, pesakit diabetes jangan jadikan alasan makan sampai lupa diri

Lead Image

SELAIN enak, sumber vitamin C terkandung dalam durian dapat membantu meningkatkan imun badan bahkan membantu mencantikkan kulit dalam melawan radikal bebas.

Peliknya, raja buah itu tidak tersenarai dalam kelab ‘superfood’ yang padat nutrisi setanding mengkudu, oren dan buah naga.

Meskipun kandungan vitamin C dalam durian memberi manfaat tertentu, kehadiran kalori dan lemak tepu yang tinggi menjadikan buah ini kurang mesra diet jika diambil secara berlebihan.

Selain itu, indeks glisemik (GI) durian agak tinggi boleh beri kesan kepada kadar gula dalam darah antara faktor durian tidak dilabelkan buah tinggi nutrisi.

Catu pengambilan durian.

Pegawai Dietetik, Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Ahmad Huzaifah Usoh@yuspff berkata, kandungan vitamin C seulas durian sangat rendah.  

Katanya, buat individu sedang menjaga kesihatan, durian boleh jadi sebahagian diet sihat jika dimakan secara sederhana. 

“Saranan hanya makan dua hingga tiga ulas sahaja sekali makan. Tiada kajian membuktikan durian boleh menguatkan imun. 

“Jadi, boleh disimpulkan tentang manfaat kesihatan raja buah itu hanyalah pembenaran diri,” tegasnya.

MENARIK DIBACA: Sakit tak baik-baik, doktor kongsi kebaikan kunyah bunga cengkih legakan batuk

MENARIK DIBACA: Jangan harap pada Tongkat Ali saja, tiram dan kacang badam boleh bantu masalah tenaga batin

Oren lebih tinggi vitamin C

Katanya seulas durian mengandungi 20 miligram (mg) atau 100 gram (g) vitamin C manakala oren bersaiz kecil mengandungi 50mg atau 100g nutrisi itu.

“Superfood adalah makanan kaya dengan kandungan nutrisi seperti vitamin, mineral dan anti oksida memberi manfaat kepada badan. 

“Namun, kandungan nutrisi penting seperti vitamin C dalam seulas durian sangat rendah jika dibandingkan dengan sebiji buah oren bersaiz kecil,” ujarnya. 

Tiada kajian membuktikan durian boleh menguatkan imun 

AHMAD HUZAIFAH

Pegawai Diatetik

Bukan sumber terbaik 

Katanya, merujuk Recommended Nutrient Intakes (RNI) for Malaysia 2017, cadangan pengambilan vitamin C bagi seorang dewasa adalah 70mg sehari. 

“Jadi, seorang dewasa perlu makan hampir 500g isi durian atau hampir 10 ulas durian untuk sukatan Vitamin C hariannya dan kiraan itu sangat tak praktikal.

“Kandungan vitamin C, potassium, serat dan antioksidan dalam durian belum cukup dijadikan perangsang imun semula jadi jika dibandingkan dengan kiwi, jambu batu dan oren. 

“Bagaimanapun, fakta menarik kandungan vitamin C dalam durian boleh ikut jenis seperti Musang King, D24 dan durian kampung namun perbezaan tidak ketara,” katanya lanjut.

Kehadiran kalori dan lemak tepu tinggi menjadikan raja buah kurang mesra diet seimbang.

Pesakit diabetes patut kawal selera 

Jelasnya, rasa pahit secara saintifik, durian mengandungi sebatian sulfur organik menyumbang kepada bau durian yang kuat. 

Selain itu, dari aspek kesihatan katanya bagi pesakit diabetes pula dinasihatkan untuk mengawal pengambilan durian antara dua hingga tiga ulas sekali makan. 

“Lebih baik hadkan pengambilan sehingga dua kali sehari sahaja. 

Kandungan gula gulanya agak tinggi juga berbahaya buat pesakit diabetes,” katanya. 

Durian bukan sumber vitamin C terbaik.

Boleh makan dalam kuantiti sedikit 

Ujarnya, pesakit gastrik atau masalah penghadaman boleh ambil durian dalam kuantiti sedikit anggaran dua hingga tiga ulas. 

“Durian memiliki karbohidrat kompleks termasuk serat dan gula ditapai oleh bakteria dalam usus besar. 

“Kandungan itu menghasilkan gas seperti hidrogen, karbon dioksida dan metana boleh menyebabkan kembung,” jelasnya lagi. 

Variasi sajian berasaskan durian untuk dinikmati.

Amal langkah bijak 

Katanya, secara logik semua buah termasuk durian adalah sihat jika diambil dalam jumlah sederhana. 

“Saranan pengambilan buah adalah sekurang-kurangnya tiga hidangan sahaja sehari. 

“Ambil langkah bijak dengan mempelbagaikan durian kepada sajian enak seperti serawa durian. 

“Harus ingat, kuantiti adalah kunci utama dalam pemakanan seharian, elak makan berlebihan jika mahu kawal kesihatan,” katanya.

 

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Menu Viral

[V] Gabungan dua dalam satu, letupan rasa matchamisu buat ramai mula ketagih 

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Menu Viral

Burger nyamuk makanan mewah di Afrika, 7 kali ganda lebih banyak protein

Terhangat