Konsep pasar raya percuma di Kanada jadi contoh, pelanggan kurang bernasib baik bebas pilih barang keperluan
BAYANGKAN masuk sahaja ke dalam sebuah 'supermarket' dan segala-galanya adalah percuma, menarik bukan?
Siapa sahaja yang tidak mahu barangan percuma tanpa perlu risau tentang bil yang mahal semasa pembayaran.
Inilah kelebihan yang dinikmati oleh rakyat Kanada apabila konsep pasar raya percuma baru-baru ini dibuka di pusat bandar Regina, Saskatchewan.
Sebelum ini, bank makanan Kanada menggunakan konsep ‘model hamper’ di mana makanan dibungkus dan diedarkan kepada mereka yang memerlukan.

Tidak seperti kedai runcit lain, hab komuniti makanan ini kini membenarkan orang ramai memilih sendiri barangan runcit yang mereka perlukan termasuk sayur-sayuran, daging, tenusu dan barangan pantri lain.
Inisiatif ini juga dapat mengurangkan pembaziran makanan kerana individu hanya mengambil barangan yang benar-benar diperlukan.
Pasar raya ini terbuka untuk keluarga dan individu menghadapi masalah keperluan makanan termasuk mereka yang bekerja sepenuh masa, pelajar atau berpendapatan rendah.
MENARIK DIBACA: Pernah dengar fasal ikan sebelah? Ini fakta menarik tentangnya
MENARIK DIBACA: Kenapa mi goreng Sabah berbeza? Ini resipi asli untuk anda cuba
Setiap pelanggan yang layak boleh mengambil barangan bernilai sehingga RM827 setiap dua minggu.
Walaupun percuma, sistem kawalan memastikan sumber diagihkan secara adil kepada mereka yang memerlukan.
Menariknya, kedai ini meniru pengalaman membeli-belah di pasar raya biasa.

Dengan lorong, rak dan troli, pelanggan dapat memilih barangan sendiri tanpa merasa 'kerdil' dan rendah diri.
Projek ini bukan sahaja memberi makanan kepada mereka memerlukan tetapi juga mengembalikan hak mereka untuk memilih, selaras dengan keperluan dan citarasa peribadi.
Inisiatif ini boleh menjadi contoh bagi bandar lain di Kanada malah seluruh dunia dalam membangunkan pendekatan bantuan makanan yang lebih hormat dan mampan.