Tiramisu berbentuk piano julang cef asal Jepun sebagai juara dunia
CEF dari Jepun, Aya Okada memenangi pingat emas Pertandingan Trofi Tiramisu Profesional Dunia diadakan di Itali baru-baru ini.
Kejohanan dianjurkan ini bagi mencari cef yang mampu menghasilkan tiramisu iaitu pencuci mulut tradisional Itali.
Seramai 10 orang cef dari seluruh dunia termasuk Itali berentap bagi merebut gelaran juara.

Aya, 29, dari Ishikawa, Jepun, menarik perhatian menerusi tiramisu direka dalam bentuk piano dihiasi dengan ceri maraschino dan amarena.
Karya ciptaannya dianggap terbaik di antara semua peserta menggabungkan versi klasik dan inovatif seperti kriteria pertandingan tersebut.
Chef Milena Russo dari Capo d'Orlando, Itali, bagaimanapun memenangi pingat perak menerusi rekaan digelar Amor Misu, tiramisu dihiasi dengan bunga ros Bulgaria, kopi, raspberry dan biji lada merah jambu.
MENARIK DIBACA: Pernah dengar fasal ikan sebelah? Ini fakta menarik tentangnya
MENARIK DIBACA: Rahsia di sebalik semangkuk mi segera, ketahui asal usul dan evolusi sejak 4,000 tahun lalu
Pencuci mulut ini turut mengandungi biskut savoiardi dengan rosemary dan lemon.
Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh cef dari Maghribi, Chef Simon Loutid yang mempersembahkan pencuci mulut bertema Nostalgia of a Boy, diinspirasikan oleh aroma benua Afrika dengan bunga bissap, vanila dan bunga raya.

Menurut Presiden FIPGC, Matteo Cutolo, pertandingan ini mencerminkan semangat dan hubungan erat antara cef dalam bidang pembuatan manisan.
“Pertandingan ini mewakili industri pastri kontemporari semakin berkembang pada masa sama menghormati tradisi.
“Di sini, tukang manisan profesional diuji untuk berinovasi tanpa kehilangan identiti.

“Tiramisu adalah lebih daripada sekadar pencuci mulut tetapi lambang kebanggaan Itali dan menjadi bahasa sejagat menyatukan budaya dan profesional dari seluruh pelusuk dunia,” kongsinya.
Acara sama turut mendapat penyertaan dari beberapa negara hebat lain seperti Australia, China, Colombia, Perancis, Mexico, Peru dan Senegal.
Setiap peserta diberi masa dua jam untuk menyediakan dua resepi merangkumi pemanis mulut berkonsepkan tradisi dan satu lagi ciptaan sendiri menggunakan bahan utama seperti keju mascarpone segar dan kopi.
Keputusan akhir dibuat berdasarkan purata kedua-dua persembahan.