Mat salih jual ais kacang guna basikal roda tiga di Sweden, sanggup angkut mesin dari Malaysia - “Pertama kali cuba terus ketagih”
SIAPA sangka pencuci mulut klasik Malaysia, yang biasanya dinikmati di bawah panas terik matahari, kini menjadi kegilaan di negara sejuk seperti Sweden?
Di tengah-tengah kota Stockholm, seorang jejaka mat salih mencuri perhatian ramai apabila menjual ais kacang — lengkap dengan ais parut dingin, sirap, jagung manis, cendol hijau dan kacang merah, dari sebuah gerai bergerak berbasikal!
Kisah unik ini tular menerusi satu video TikTok yang dimuat naik oleh pengguna @wawawandering_, memaparkan lelaki berkenaan menolak basikal beroda tiganya di sebuah taman untuk berniaga.

Apa mencuri perhatian adalah lelaki berkenaan turut membawa mesin parut ais klasik berwarna hijau yang banyak digunakan di Malaysia.
Suasana ceria di sekitar gerai tersebut serta reaksi teruja penduduk tempatan yang pertama kali mencuba manisan Malaysia itu.
Semuanya bermula ketika jejaka Sweden ini melancong ke Malaysia dan berpeluang merasai ais kacang buat pertama kali. Sekali cuba, terus jatuh cinta!
MENARIK DIBACA: [V] Bahan masak mesra poket, ini 6 item wajib 'grab' kalau masuk kedai RM2
MENARIK DIBACA:Sotong masak hitam stail utara memang juara, dakwatnya kunci keenakan rasa
Sekembalinya ke tanah air, dia membuat keputusan luar biasa — membawa pulang sendiri mesin ais kacang dari Malaysia dan memulakan perniagaan kecil-kecilan di Stockholm.
Apa yang lebih mengagumkan, dia tidak mengubah resipi atau kandungan asas ais kacang.
Malah, dia berusaha mengekalkan rasa autentik dengan menggunakan bahan-bahan tradisional seperti sirap pelbagai warna, kacang merah, jagung manis dan cendol — semuanya dihidang dalam cuaca musim panas Sweden yang sempurna untuk ais kacang!

Setiap mangkuk ais kacang dijual pada harga 60 SEK (sekitar RM28), dan sambutannya cukup hangat!
Ramai warga Sweden bukan saja memuji rasa manis dan tekstur unik ais kacang, malah tertarik dengan kisah di sebalik hidangan itu.
Gerai basikal roda tiga miliknya kini menjadi antara tarikan musim panas di Stockholm dan menjadi bualan ramai.
Tindakan lelaki itu bukan sahaja memperkenalkan budaya Malaysia kepada dunia tetapi membuktikan makanan mampu menyatukan pelbagai bangsa walaupun dari dua benua berbeza.