[V] Zizi Kirana cerita nikmat makan nasi goreng Cina ketika pelayaran ke Gaza, diberi roti hancur dalam tahanan
"SAYA berdoa supaya Allah SWT melindungi dan beri kesihatan yang baik ke atas makanan ini."
Demikian kata penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Zizi Kirana ketika berkongsi pengalaman ditempatkan di penjara selepas kapal misi Global Sumud Flotilla dipintas tentera Israel sewaktu dalam pelayaran kemanusiaan ke Gaza pada 1 Oktober 2025.
Berkongsi cerita kepada Kuali, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 41, berkata semasa dalam tahanan Zionis, dia serta beberapa peserta lain termasuk pelakon dan aktivis, Ardell Aryana tidak diberi makan dan minum selama dua hari.

"Sejak ditahan sehingga dibawa ke penjara, kami langsung tidak diberi makan dan minum, malah kami dijemur di bawah matahari.
"Bayangkan tidak menjamah apa-apa selama hampir dua hari.
"Bila sampai di penjara, mereka cuma beri kami sekeping roti hancur bersama jem. Saya cuma fikir ini sahaja makanan yang ada," katanya yang ditempatkan di penjara selama empat hari.
Menurut Zizi, ketika mereka diberikan makanan, Ardell agak meragui makanan tersebut kerana bimbang diracun tentera Zionis.
MENARIK DIBACA: Rahsia masak nasi goreng 'Chinese style'... Tekstur cantik berderai, harum aroma 'wok hei'
MENARIK DIBACA: Goreng nasi pakai sut, nakal kenyit mata! Peniaga pasar malam kacak raih RM32,000 sebulan
Zizi bagaimanapun hanya mampu berdoa supaya makanan yang diberikan selamat dan berserah kepada Allah SWT.
"Saya minta Ardell berdoa supaya makanan yang diberikan dilindungi dan selamat sebab itu sahaja makanan yang ada.
"Kami langsung tidak diberikan air dan minum melalui paip sahaja.
"Itu sahajalah yang kami makan dan minum sepanjang menjadi tahanan," kongsinya lagi.

Bercerita tentang pengalaman ketika di atas kapal Global Sumud Flotilla pula, penyanyi lagu 'Eh' itu berkata antara momen dianggap istimewa termasuklah peluang menyediakan masakan Malaysia iaitu nasi goreng Cina kepada peserta pelayaran lain yang terdiri daripada pelbagai kewarganegaraan.
Walaupun makanan di atas kapal terpaksa dicatu, Zizi tetap dapat menghidangkan sajian itu menggunakan bahan-bahan yang ada meskipun terhad.
"Ketiba tiba giliran saya untuk menyediakan makanan, saya perkenalkan kepada mereka nasi goreng Cina.
"Walaupun yang ada cuma telur dan sayur, sebab ayam dan daging tidak dibenarkan bagi menghormati mereka yang tidak makan daging (vegetarian).
"Saya campur apa yang ada dan mereka suka walaupun nasi goreng Cina saya kurang ramuan kerana perlu berjimat," katanya.