Rita Rudaini sanggup belanja lebih, rancang menu anak sepanjang 'trial' SPM
BENARLAH kata orang, kecerdasan minda anak bukan semata-mata bergantung kepada pembelajaran, malah pemakanan yang baik turut memainkan peranan penting.
Itulah pendekatan yang diambil pelakon Rita Rudaini apabila dia memutuskan untuk menjaga pemakanan anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, sepanjang tempoh menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menurut Rita, 50, dia sendiri merancang menu untuk anaknya, malah turut mendapat kerjasama pihak pengusaha kafe sekolah iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Selangor.

“Sepanjang anak saya tengah trial SPM MRSM, saya sendiri ambil inisiatif untuk jaga pemakanan dia. Plan menu sendiri dan saya minta kerjasama kafe untuk bantu sediakan menu yang saya pilih.
“Bagi saya, waktu exam bukan hanya tentang study. Pemakanan yang sihat dan cukup nutrisi pun sangat penting untuk tenaga, fokus dan minda," katanya di laman Threads pada Selasa.
Dalam hantaran sama, Rita turut berkongsi beberapa menu yang disediakan buat anaknya sepanjang persediaan menghadapi peperiksaan percubaan antaranya seperti ayam grill madu, ikan kembung stim halia, asam pedas ikan tenggiri, ayam kukus halia bawang putih dan siakap stim lemon.
MENARIK DIBACA: [V] Adam Corrie jatuh cinta dengan rendang ayam isteri, tambah nasi 3 kali
MENARIK DIBACA: Ibu beri anak makan coklat gelap sebelum ke sekolah, bantu lebih fokus belajar
Menurut Rita, dia sanggup mengeluarkan wang sendiri demi memastikan anaknya mendapat makanan yang dirasakan sesuai sepanjang tempoh peperiksaan.
“Semua ni atas usaha dan duit saya sendiri ya. Bukan duit persatuan. Duit saya, rezeki saya.
“Suka hati saya nak order apa untuk anak saya. Tak perlu dengki dengan rezeki atau plate orang lain. Kalau teringin, order dan bayar je la,” ujarnya

Perkongsian itu turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata memuji keprihatinan Rita dalam memastikan keperluan anak dipenuhi sebaiknya.
"Salute mommy… Semoga Allah membalas segala kebaikan mommy dengan kejayaan anak soleh mommy.
"Terserlah usaha puan menyediakan yang terbaik untuk anak. Saya doakan semoga segala usaha ini membuahkan hasil," antara komen netizen.