Mimi kongsi 'bekal sihat' ketika latihan PGL, cili padi tak boleh tinggal!
SEMUA sedia maklum penyanyi, Mimi Fly terpilih untuk memegang watak Bayam dalam teater Puteri Gunung Ledang (PGL) The Musical yang bakal dipentaskan pada 31 Oktober hingga 15 November 2026.
Sibuk menjalani latihan dan persediaan, Mimi atau nama lengkapnya Shamimi Amalina Norhisham sempat berkongsi persiapan menyiapkan bekal makanan snek sihat yang dibawa sepanjang menjalani latihan.
Menerusi perkongsian di Instagram, Mimi menunjukkan bekal makanan sihat yang disediakan sendiri di rumah sehingga membuatkan pengikutnya teruja.

"Saya nak kongsikan dengan anda, apa yang saya makan semasa sibuk menjalani latihan PGL," katanya ringkas.
Antara yang disediakan pelantun lagu Serumpun itu dalam bekas makanannya adalah potongan saderi, red radish, sweet pepper, tomato ceri dan jalapeno.
Sambil ketawa besar Mimi turut menunjukkan bahawa dirinya 'lidah Melayu' apabila membawa beberapa tangkai cili padi sebagai pelengkap bekal.
Tidak cukup dengan itu, Mimi turut menyediakan sugarsnaps, iaitu sejenis kekacang (kacang pea) yang boleh dimakan keseluruhan termasuk kulit dan bijinya sekali kerana ia mempunyai kulit yang tebal, rangup dan manis serta sayur kegemarannya, basil atau selasih.
Bagi menjadikan bekal yang disediakan lengkap dari segi nutrisi, Mimi turut menyediakan sepotong ayam panggang bersama dua biji telur rebus untuk sumber protein.
MENARIK DIBACA: Cempedak muda goreng belacan memang mantap, tak cukup sepinggan nasi
MENARIK DIBACA: Kuala Lumpur diiktiraf 'Bandar Street Food' ke-2 terbaik global, tertinggal 1 mata di belakang Ho Chi Minh, Vietnam
Kata penyanyi berusia 39 tahun itu, bekal yang dibawa sudah cukup mengenyangkan, malah boleh bertahan dalam tempoh yang panjang walaupun tidak mengambil nasi pada hari tersebut.
Pada akhir persiapan, Mimi meletakkan beberapa sudu sambal bersama campuran Greek yogurt dan 'chilli oil' dalam bekal yang disediakan.
Di ruangan komen, ramai pengikutnya teruja, malah kagum dengan bekal sihat yang disediakan Mimi.

Malah, tidak kurang juga apabila ada antara mereka mahu meniru menu yang disediakan.
"Ada cili api tambah lagi sambal memang berapi sangat!
"Saya teringin sangat nak buat snack box macam ni.
"Terima kasih sebab kongsi idea pada kami Mimi," kata beberapa orang pengikutnya.