Subur, gemuk-gemuk! Bayam tumbuh berselerak di kebun Farah Ahmad buat ramai 'geram'
BAYAM merupakan salah satu tanaman yang mudah ditanam dan mampu tumbuh subur tanpa perlu dijaga secara berlebihan.
Malah, jika keadaan tanah dan persekitaran sesuai, sayuran berdaun hijau ini boleh tumbuh dengan sendiri selepas benihnya tersebar.
Situasi itu turut dialami pelakon berkaliber, Farah Ahmad yang kelihatan teruja apabila mendapati tanaman bayam di kebun kecil miliknya tumbuh subur dan menghasilkan daun yang lebat.
Menerusi sebuah video yang dikongsikan, Farah atau nama lengkapnya Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin dilihat ceria menuai hasil bayam, dipercayai jenis bayam batik.

Menariknya, tanaman tersebut bukan hanya tumbuh di satu kawasan yang dikhaskan, sebaliknya kelihatan hidup di merata-rata ruang di sekitar kebun berkenaan.
Keadaan itu membuatkan Farah sendiri berasa hairan melihat bayam yang tumbuh tanpa disangka-sangka.
"Merata-rata bayam aku tumbuh.
"Agaknya benih kering jatuh berterbangan dari tanaman hidroponik di balkoni rumah," kata menantu kepada seniwati Datuk Fauziah Nawi itu.
Walaupun tumbuh secara tidak teratur, keadaan itu ternyata memberi keuntungan buat Farah apabila dia dapat menikmati hasil tanaman sendiri.
MENARIK DIBACA: Lelaki dedah kandungan sebenar kiub pati ayam, minta pengguna teliti label
MENARIK DIBACA: Abe La turun berat badan, tapi bukan sebab sakit kronik -"Realiti sebenar buat content makanan..."
Malah, disebabkan hasil bayam yang dituai terlalu banyak, ada pengikutnya berseloroh apabila menganggap mungkin itu adalah bayam tiruan.
"Mana ada tiruan. Tak nampak ke saya cabut sekali dengan akar," ujar akres berusia 48 tahun itu.
Menurut pelakon filem La Luna itu lagi, selain untuk dimakan sendiri, dia juga ingin berkongsi rezeki dengan memberikan bayam yang dituai kepada jiran-jirannya.

"Saya nak beri bayam ni pada jiran-jiran kalau mereka mahu.
"Saya nak beri 'free' je seorang seikat," jelasnya.
Sempat berkongsi resipi, Farah berkata selain sedap dicelur, bayam yang dicampur dengan daun kunyit juga sangat sedap dimakan, malah baunya juga harum.
"Ada sesetengah orang dulu-dulu, selain masak bening (tumis air), mereka akan letak sedikit daun kunyit, memang wangi," kongsinya.
Perkongsian ibu kepada tiga cahaya mata itu sekali gus menarik perhatian pengikutnya di media sosial, apabila masing-masing bukan sahaja teruja, malah turut geram dengan hasil bayamnya yang merimbun.

"Seronoknya kakak! Bukan main menjadi-jadi lagi bayam.
"Moleknya bayam! Senang pula tengok menanamnya.
"Aduh rezeki betul, senang hidupnya. Kalau saya bukan main beria beli. Kalau tanam pun 'layu ditasik madu'," ujar beberapa pengikutnya.
Bagi mereka yang mempunyai kawasan lapang di rumah, bayam sememangnya antara sayuran yang boleh dipertimbangkan untuk ditanam kerana penjagaannya agak mudah.
Selain dapat menikmati sayuran segar, berkebun juga boleh menjadi satu aktiviti santai yang menyeronokkan, terutama apabila hasil tanaman akhirnya boleh dibawa terus ke dapur.