Teater muzikal Tomyam Berdarah papar misteri kematian cef dalam periuk
TEATER Muzikal Tomyam Berdarah tampil dengan pendekatan berbeza apabila menggabungkan elemen jenayah, komedi gelap, muzik dan makanan tempatan.
Pementasan diterbitkan CTRA Production bersama Peran Opera itu mengangkat industri makanan dan minuman (F&B), selain mengetengahkan potensi bidang kulinari sebagai salah satu cabang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Attan berkata, bidang kulinari kini tidak lagi terhad kepada kemahiran memasak semata-mata kerana ia turut melibatkan aspek kreativiti, seni, teknikal dan inovasi mampu menjana pendapatan.
Kongsinya, industri F&B mempunyai ruang kerjaya luas untuk diterokai golongan muda termasuk sebagai cef hotel atau restoran, cef selebriti, usahawan produk makanan dan minuman, pengusaha restoran serta pempengaruh media sosial.

“Sebut saja aktiviti memasak, kita hanya membayangkan ruang dapur di rumah. Sedangkan industri F&B ini luas apabila diterokai dengan sebaik-baiknya.
“Melihat pada potensi bidang kulinari, inisiatif ini diambil dengan dengan menerapkan elemen mendidik sambil berhibur,” katanya dalam satu kenyataan.
Tomyam Berdarah turut membawa penonton cilik dan remaja bertindak sebagai ‘penyiasat’ untuk menganalisis petunjuk dan mencari jawapan kepada persoalan utama iaitu siapakah dalang sebenar di sebalik kejadian itu.
Naskhah arahan serta tulisan Aloeng Silalahi itu menggabungkan naratif satira, struktur muzikal dan pendekatan site-responsive.
Teater ini turut menyentuh tema kuasa, warisan, isu toksik di tempat kerja serta nilai kemanusiaan yang tersembunyi di sebalik dapur sebuah restoran.
“Tomyam Berdarah bukan sekadar cerita tentang kematian, tetapi mengenai hidup ‘direbus’ bersama harapan, dendam dan identiti.
"Semuanya disajikan di dalam satu periuk tomyam,” kongsinya.
Kisah teater itu bermula apabila sebuah restoran sedang giat membuat persiapan untuk menyertai pertandingan Master Chef Universe bertukar kecoh selepas pemilik restoran, Chef Rahman, ditemukan tidak bernyawa di dalam periuk tomyam miliknya sendiri.
MENARIK DIBACA: Kecewa bayar beratus ringgit, dapat sotong hangit! Kuantiti pun meragukan
MENARIK DIBACA: 'Padah' pesan 'fish and chips' di kedai tomyam, pelanggan akur dapat tenggiri goreng
Dapur sepatutnya menjadi tempat menyediakan hidangan bertukar menjadi lokasi jenayah, manakala setiap pekerja restoran pula mempunyai sebab untuk dicurigai.
Masing-masing mempunyai motif dan rahsia tersendiri perlu dibongkar sepanjang pementasan.
Teater muzikal interaktif bergenre satira jenayah itu bakal dipentaskan selama tiga hari berturut-turut pada 28, 29 dan 30 Ogos 2026 di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor.
Pementasan pada setiap hari dijadualkan berlangsung pada pukul 3 petang dan 8.30 malam dengan harga tiket RM25 dan RM35.

Antara barisan pelakon terlibat ialah Karl Shafek dan Juhara Ayob.
Bagi CTRA Production, Tomyam Berdarah meneruskan usaha mereka mengangkat karya teater di samping menghiburkan, ia mempunyai nilai pendidikan dan mesej kepada masyarakat.
Sejak 1994, produksi ini menerbitkan lebih 50 teater di seluruh negara termasuk Singapura dan Indonesia, antaranya Teater Muzikal Sulalaus Salatin, Cik Ros; Nyonya; Di Bawah Lindungan Kaabah; Teater Muzikal Tun Mahathir; Lantai T.Pinkie dan Teater Muzikal Ibu Zain.
Tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang ilassotickets.com atau WhatsApp Hotline 011-1329 7822.