Mi Champa pedas tapi nikmat... Dah berpeluh tetap nak lagi, sedar-sedar licin semangkuk
MI Champa terkenal dengan kuahnya yang pekat, berempah dan kaya rasa, hasil tulang lembu direbus dalam tempoh lama, bersama gabungan bahan bakar yang menaikkan aroma dan membuka selera.
Sajian ini adalah mi sup pedas berasal dari komuniti Cham di Kemboja, terkenal dengan kuah rebusan tulang daging lembu yang kaya rasa dan aromatik.
Setiap suapan kuahnya membawa rasa yang mendalam, wangi dan cukup 'kick' menjadikannya antara hidangan berkuah yang sukar untuk ditolak.
Kuahnya yang sedap dimakan panas-panas paling sesuai dinikmati bersama mi, bihun atau kuetiau
Bila dihirup, terasa kepuasan yang 'lain macam' sampaikan boleh berpeluh satu badan dan air hidung meleleh, tapi itulah nikmat sebenar Mi Champa.
Bagi penggemar mi mahupun mereka yang memang 'kuat' makan pedas, hidangan ini pasti akan buat anda susah nak berhenti makan.
Jom Kuali tunjukkan cara-cara membuatnya.

Bahan-bahan:
Bahan kuah
- 1 1/2 - 2 kg daging lembu beserta tulang untuk dibuat 'bone broth'
- 3 liter air
- 4 biji bawang holand dipotong 4
- 3 biji bawang besar dipotong 4
- 2 inci lengkuas dihiris nipis
- Seekor sotong kering
- Daun ketumbar (seikat)
- Daun bawang
- 2 batang kulit kayu manis
- 4 biji bunga lawang
- 1/2 cawan sos ikan
- Gula
- Garam
- Serbuk perasa
- Serbuk lada sulah atau serbuk lada hitam
- 3 kiub stok perisa daging
Bahan sambal lada
- 4 biji lada merah (besar)
- 20-30 biji cili api
- 2 ulas bawang putih
- 2 sudu besar cuka
- Sedikit garam
MENARIK DIBACA: Suka buang lebihan minyak dalam singki? Cuba trik mudah ini, dijamin tak tersumbat
MENARIK DIBACA: [V] Umur 20-an dah jadi bos, ada kafe sendiri... Gadis ini cekap bahagi masa antara bisnes, kuliah
Cara penyediaan:
- Didihkan air dalam periuk besar, masukkan daging dan tulang. Rebus 30 minit hingga1 jam.
- Buang air rebusan pertama untuk hilangkan kotoran kemudian masukkan 3 liter air baharu dan sambung rebus sehingga daging empuk.
- Keluarkan daging kemudian teruskan rebus tulang 5 hingga 6 jam untuk mendapatkan kuah pekat (bone broth).
- Bakar bawang Holland, bawang besar, lengkuas, sotong kering, kayu manis dan bunga lawang hingga wangi.
- Masukkan semua bahan bakar ke dalam periuk sup tulang.
- Tambah sos ikan, kiub daging, garam, gula, lada dan daun ketumbar/daun bawang. Renehkan seketika.
- Tapis kuah supaya lebih jernih dan halus sekata.
- Untuk sambal, rebus cili merah, cili api dan bawang putih kemudian kisar bersama cuka dan garam.
- Untuk minyak bawang putih, goreng bawang putih dalam minyak hingga kekuningan.
- Sediakan mi, letak hirisan daging dan bahan sampingan.
- Cedok kuah panas ke dalam mangkuk dan tambah sambal, minyak bawang putih serta limau nipis ikut selera.