[V] Umur 20-an dah jadi bos, ada kafe sendiri... Gadis ini cekap bahagi masa antara bisnes, kuliah
PADA usia awal 20-an, kebanyakan individu masih tercari-cari arah hidup, menyesuaikan diri dengan pekerjaan atau sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).
Namun berbeza bagi anak muda ini apabila dia sudah mampu berdikari dan mencari rezeki dengan mengusahakan kafe miliknya sendiri.
Apa yang menjadikan kerjayanya lebih manis adalah, kafe tersebut merupakan hadiah istimewa daripada ibu sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-20.
Menurut Nur Aviviana Batrisya Zawawai atau lebih mesra disapa Vivi, pemberian tersebut bukan sekadar hadiah biasa tetapi sebagai tanda sokongan penuh seorang ibu terhadap minat dan impiannya dalam perniagaan melibatkan makanan dan minuman (F&B).
Menurut anak kelahiran Kelantan itu, dia sememangnya mempunyai minat mendalam dalam bidang masakan sejak kecil lagi.

"Saya memang minat berniaga dan suka memasak dari sekolah rendah lagi dan mengimpikan untuk memiliki sebuah kafe.
"Tak sangka pula ibu betul-betul beri peluang dan hadiahkan sebuah kafe sempena hari lahir tahun lalu. Syukur ibu beri kepercayaan," katanya ketika ditemui Kuali.
Milko Cafe yang diusahakan Vivi tampil dengan konsep santai dan mesra pelanggan sesuai dijadikan lokasi lepak bersama rakan atau ahli keluarga.
Mengenai sajian yang diketengahkan pula, ia menawarkan makanan yang lebih dekat minat golongan muda termasuklah makanan ringan dari Korea.
Antara menu yang menjadi kegilaan ramai adalah 'Korean chili chicken', 'samyang fried chicken', 'pop nana' dan 'waffle' dengan harga bermula RM6 hingga RM25.
Menyedari usianya masih muda dan masih banyak yang perlu dipelajari dalam bidang ini, Vivi menegaskan dia tidak pernah memandang ringan tanggungjawab yang perlu digalas.
MENARIK DIBACA: Wanita tukar susu badan jadi serbuk, sangat memudahkan urusan - "Keputusan terbaik pernah saya buat"
MENARIK DIBACA: Mengarut! Ibu bapa 'seram' tengok aneka jajan pelik jual dekat sekolah anak
Menguruskan operasi harian, memastikan kualiti makanan serta memberikan layanan terbaik kepada pelanggan menjadi fokus utama dirinya sebagai pemilik kafe.
"Cabaran memang ada tapi ini peluang untuk belajar dan buktikan saya boleh pergi jauh.
"Saya yang mencari bahan mentah, uruskan stok sepenuhnya untuk kafe ini.
"Ibu bapa saya uruskan bisnes di Kelantan dan tinggal di sana, jadi di sini saya buat kesemuanya," katanya.
Bergelar pelajar di sebuah universiti tempatan dan mengambil jurusan Diploma Pengurusan Logistik, Vivi mengakui dia perlu bijak mengurus masa antara kafe dan pembelajaran.

"Saya kena membahagikan masa dengan baik untuk menguruskan kafe ini dengan pembelajaran. Kelas saya tiga kali seminggu jadi saya boleh urus dan tengok kafe.
"Alhamdulillah setakat ini kafe berjalan lancar. Semua kerja jadi lebih mudah apabila dibantu oleh staf-staf saya," kongsi Vivi lagi
Dalam pada itu, Vivi mengakui lokasi Milko Cafe yang strategik iaitu berdekatan LRT Kampung Baru, Kuala Lumpur memberi kelebihan kepada bisnesnya kerana mudah diakses oleh orang ramai, khususnya golongan pelajar.
Banyak membuat promosi di media sosial, Vivi berharap jenama kafe miliknya itu akan lebih dikenali pada masa akan datang.
Mengenai pendapatan bulanan, anak muda ini berkata dia mampu memperoleh sehingga RM15,000.
Pada masa akan datang, dia bakal menambah menu baharu bagi merancakkan lagi perniagaannya.
Jelasnya, dalam fasa ini sokongan penuh daripada keluarga sangat penting begitu juga pelanggan.
Apa yang pasti, perjalanan anak muda ini dalam dunia perniagaan baru sahaja bermula dan sudah pasti ramai menantikan kejayaan yang bakal dikecapinya pada masa hadapan.