Tekstur kenyal, aroma harum... Snek Korea kek beras tteok mentega kini jadi kegilaan
KINI muncul satu lagi kudapan yang mencetuskan kegilaan di Indonesia iaitu 'butter tteok rice cake' (kek beras tteok mentega).
Manisan yang diinspirasikan daripada kek beras (tteok) ini tular di TikTok dan Instagram kerana gabungan tekstur rangup warna keemasan di bahagian luar tetapi lembut serta kenyal di dalam.
Popularitinya turut mendorong banyak kafe dan bakeri memperkenalkan menu dari Korea ini dengan pelbagai variasi perisa.
Apa yang membuatkan makanan ini begitu istimewa ialah aroma mentega yang harum, rasa lemak manis yang seimbang serta teksturnya yang seakan-akan mochi tetapi dengan lapisan luar yang sedikit garing selepas dibakar.
Jika anda tertanya-tanya mengapa pencuci mulut ini menjadi kegilaan ramai, cuba buat sendiri mengikut resipi mudah yang dikongsikan pempengaruh, Syie Zee dalam Instagram miliknya.

Bahan-bahan
- 1 cawan tepung beras pulut
- 1 cawan kecil mentega (cairkan)
- 1 cawan susu penuh krim
- 1 mangkuk gula
- 1 biji telur
- Esen vanila
- Garam
MENARIK DIBACA: Saintis beri amaran jangkitan virus baharu dari 'seafood', mangsa alami sakit mata kronik
MENARIK DIBACA: Croissant Pattaya pelik disaluti 'rambut' bergumpal, tapi ramai serbu kedai nak beli
Langkah penyediaan
- Tuang susu dan mentega dalam mangkuk kemudian kacau sehingga sebati.
- Gunakan mangkuk lain, pecahkan telur kemudian masukkan gula dan esen vanila lalu kacau sebati.
- Tuang adunan susu dan mentega tadi lalu kacau sehingga semua bahan bersatu dengan sempurna.
- Masukkan tepung beras pulut dan garam secukupnya lalu kacau.
- Tapis bahan adunan supaya mendapat tekstur yang betul-betul halus.
- Sediakan loyang cetakan dengan bentuk yang anda sukai kemudian sapukan sedikit mentega supaya tidak melekat.
- Tuang adunan sehingga 80 peratus penuh lalu bakar pada suhu 180 darjah Celsius selama 35 minit.
- Siap dan sedia untuk dihidangkan sebagai minum petang.