7 jenis ulam kampung padu makan dengan sambal belacan, 'power' untuk kesihatan
ULAM-ulaman bukan sekadar menjadi hidangan sampingan ketika menikmati hidangan nasi, malah telah lama digunakan dalam perubatan tradisional kerana kandungan nutrien dan khasiatnya yang pelbagai.
Tidak perlu ulam berstatus antarabangsa yang harganya sudah tentu jauh lebih mahal, ulam-ulam yang tumbuh liar di kampung juga tidak kalah hebat dengan pelbagai manfaat untuk kesihatan.
Malah, ada antara ulam-ulaman ini bukan sahaja boleh dimakan begitu sahaja, tapi juga boleh dijadikan jus berkhasiat.
Jom kita kenali antara jenis ulam-ulam kampung yang bukan sahaja enak, tetapi juga sangat berkhasiat.

1. Pegaga
Mesti ramai pernah melihat ulam pegaga. Daunnya kecil dan tumbuh meliar di atas tanah.
Selain dimakan mentah, pegaga juga boleh dijadikan bahan dalam kerabu atau dijadikan jus pegaga.
Pegaga atau 'centella asiatica' memiliki khasiat untuk membantu melancarkan peredaran darah, meningkatkan daya ingatan, mengurangkan stres dan baik untuk kecantikan kulit.
Bukan itu sahaja, pegaga juga membantu melegakan sakit sendi (artritis) dan mempercepatkan penyembuhan luka.
Namun begitu, pengambilan pegaga perlu dikawal dan elakkan mengambilnya secara berlebihan kerana boleh menyebabkan ciri-birit dan sakit kepala.

2. Ulam raja
Satu lagi 'jaguh' kampung popular dan baik untuk kesihatan kerana kaya dengan antioksidan.
Khasiat utama ulam raja adalah membantu menurunkan bacaan gula dalam darah khusunya untuk penghidap diabetes.
Antara kelebihan lain ulam raja adalah menguatkan tulang, awet muda, melancarkan peredaran darah serta bersifat antikulat dan antibakteria.
Selain itu, ulam raja juga membantu menguatkan fungsi hati dan melancarkan pembuangan toksin dalam badan.
MENARIK DIBACA: Sambal nyok sedap cicah dengan ulam... Tak payah masak, gaul-gaul dah siap!
MENARIK DIBACA: Puding kurma guna 3 bahan, 'syahdu' masuk mulut sejuk-sejuk lepas berbuka

3. Pucuk gajus
Pucuk gajus atau juga disebut ulam ketereh memiliki banyak manfaat untuk kesihatan dalaman dan luaran.
Antara kelebihan pucuk berwarna ungu dan hijau ini adalah membantu melancarkan sistem penghadaman tubuh manusia, merendahkan tekanan darah tinggi dan mengawal bacaan gula dalam darah.
Selain itu, pucuk gajus juga membantu melawan dan meneutralkan toksik di dalam badan selain membantu menjadikan tubuh lebih bertenaga.

4. Tenggek burung
Tenggek burung merupakan sejenis ulam yang memiliki rasa sedikit berlemak dan kelat. Ulaman tradisional ini sangat berkhasiat untuk melancarkan peredaran darah dan mengurangkan rasa lenguh badan.
Selain itu, ulam yang enak dimakan bersama sambal belacan ini turut digunakan secara tradisional untuk mengecutkan rahim wanita selepas bersalin, mengurangkan sakit senggugut serta melancarkan kitaran haid.
Sifatnya yang tinggi antioksidan membantu melawan radikal bebas dan mengurangkan sakit sendi.

5. Daun selasih
Daun selasih merupakan sejenis ulam-ulaman yang kaya dengan antioksian dan vitamin C untuk bertindak sebagai anti-radang, antibakteria dan antikulat secara semula jadi.
Antara manfaat lain daun selasih membantu melancarkan pencernaan, mengurangkan stres dan melegakan batuk serta selesema. Selain dijadikan ulam, daun selasih juga boleh diproses untuk dijadikan teh.

6. Daun kaduk
Daun kaduk terkenal dengan khasiat anti-radang, antioksidan, dan antiseptik hingga menjadikannya herba tradisional ini berkesan untuk merawat sakit sendi, lenguh badan, membuang angin, serta melancarkan pencernaan.
Ulam menyerupai sirih ini kaya dengan Vitamin A dan C yang baik untuk imuniti, kesihatan kulit, serta membantu menurunkan kolesterol dan gula dalam darah.
Antara manfaat lain daun kaduk adalah melancarkan penghadaman dan melegakan perut berangin, sembelit serta menyingkirkan toksin dalam badan.
Bahkan, air rebusan duan kaduk membantu merawat gigi serta mengurangkan bau mulut. Namun dinasihatkan supaya tidak mengambil daun kaduk secara berlebihan kerana boleh mengganggu perut.

7. Bayam Brazil
Bayam Brazil kaya dengan nutrien seperti vitamin A, C, K, zat besi, dan kalsium yang berkhasiat meningkatkan imuniti, menjaga kesihatan mata serta menguatkan tulang.
Tumbuhan ini juga membantu mencegah anemia, melancarkan pencernaan, menyihatkan jantung dan berpotensi mencegah kanser.
Selain itu, pengambilan bayam Brazil juga membantu meningkatkan fungsi kognitif, daya ingatan dan konsentrasi.