[V] Wanita ini makan probiotik 'diternak' sendiri, peram teh untuk dapatkan 'scoby'
SEKARANG ni sana sini orang asyik bercakap tentang penjagaan kesihatan usus dan ada juga mengaitkannya dengan amalan berpuasa.
Usus sihat dapat membantu kehidupan lebih berkualiti sekali gus penting untuk elakkan masalah penghadaman seperti sembelit, kembung dan pedih ulu hati akibat tabiat makan melampau atau kekurangan air.
Ada yang memilih kaedah tradisional, tak kurang juga sanggup berbelanja besar demi pastikan sistem penghadaman sentiasa sihat.

Namun berbeza dengan Herawati Dewi yang memilih untuk ‘memelihara’ bakteria sendiri sebelum menikmatinya sebagai probiotik semula jadi.
Menurutnya, biarpun warga maya menganggap cara dia menikmati bakteria dikenali sebagai 'scoby' itu pelik, tapi sebenarnya ia satu usaha menjaga kesihatan usus secara semula jadi.
MENARIK DIBACA: Shafiq Cute layan isteri hamil bak permaisuri, siapkan aneka lauk 'frozen' untuk berbuka sepanjang Ramadan
MENARIK DIBACA: Air kelapa redakan ‘morning sickness’, cegah jangkitan saluran kencing ketika hamil
"Bakteria ini dikenali sebagai 'scoby' dan sering digunakan dalam pembuatan minuman kombucha.
"Scoby adalah singkatan kepada Symbiotic Culture of Bacteria and Yeast mengandungi bakteria dan yis baik bertindak sebagai probiotik untuk membantu menyeimbangkan mikrobiota usus.

"Benda pelik ni sebenarnya kultur bakteria baik dan rasanya seperti Nata De Coco," kongsinya lagi.
Dalam perkongsian beberapa [video], Herawati turut menunjukkan cara menjaga 'scoby' dengan betul di mana kultur itu disimpan dalam bekas bersih, direndam dalam larutan teh manis lalu ditutup menggunakan kain bagi membolehkan proses penapaian berlaku secara semula jadi.
Herawati juga berseloroh, scoby perlu dijaga dengan kasih sayang dan kadang-kadang dia bercakap dengannya sebagai tanda menghargai kultur hidup tersebut.
"Air kombucha dihasilkan hanya menggunakan bancuhan teh O dan gula sebagai sumber makanan kepada bakteria dan yis.

"Selepas itu, campuran tersebut ditutup dengan kain dan diperam selama tujuh hingga 10 hari pada suhu bilik," katanya.
Hasilnya, minuman kombucha yang terhasil mempunyai rasa sedikit masam dan menyegarkan seakan-akan cuka epal tetapi lebih 'ringan' dan berkarbonat semula jadi.
Tambahnya lagi, kaedah pengambilan kombucha dan 'scoby' jauh lebih menjimatkan berbanding membeli suplemen probiotik komersial yang ada di pasaran.
“Tak perlu berbelanja besar untuk dapatkan probiotik. Kalau jaga elok-elok, 'scoby' ni boleh membiak dan kita boleh guna berulang kali,” ujarnya.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang teruja untuk mencuba sendiri membuat kombucha di rumah, manakala ada juga yang masih berasa ragu-ragu.
"Tak masam ke? Minum air dia (kombucha) pun dah berkerut muka.
"Cuba ajar saya bela 'scoby' ni.
"Kalau lepas bela jadi sayang pula macam mana?" antara komen netizen.
Cara Buat Scoby
Bahan-bahan:
2 cawan air
1 uncang teh hitam atau teh hijau (tanpa perisa)
2 sudu besar gula putih
½ – 1 cawan kombucha asli (plain, unflavoured, tidak dipasteur)
Bekas kaca
Kain bersih + getah pengikat
Pastikan kombucha yang digunakan ada label “raw” atau “unpasteurized” supaya masih ada bakteria hidup.
Langkah-langkah:
Bancuh teh manis
Didihkan air, masukkan teh dan gula. Kacau sampai gula larut.
Sejukkan sepenuhnya ke suhu bilik.
Masukkan ke dalam bekas kaca
Tuang teh yang sudah sejuk ke dalam bekas.
Tambah kombucha asli
Masukkan kombucha sebagai “starter culture”.
Tutup dengan kain
Ikat kain pada mulut bekas (jangan guna penutup kedap udara).
Peram 7–14 hari
Simpan di tempat suhu bilik (24–30°C), jauh dari cahaya matahari terus.
Hasil
Hari 3–5: Lapisan nipis mula terbentuk di permukaan.
Hari 7–14: Lapisan makin tebal (±0.5–1 cm).
Itu lah SCOBY anda!