Minum kopi dan teh tarik ketika sarapan boleh jejas fungsi buah pinggang
KOPI atau teh tarik menjadi minuman cukup popular bagi memulakan hari yang panjang sebelum ke tempat kerja.
Malah ramai tidak dapat berfungsi dengan baik sekiranya tidak mendapat kafien di dalam badan.
Rutin ini nampak normal tetapi tanpa disedari ia mampu memberi kesan negatif kepada kesihatan terutamanya buah pinggang.
Sedangkan organ ini berperanan mengekalkan keseimbangan tubuh termasuk menyaring toksin, mengawal cecair dan menstabilkan tekanan darah manusia.
Penyakit berkaitan buang pinggang boleh muncul tanpa sebarang gejala pada peringkat awal dan penting bagi kita mengenal pasti perubahan yang berlaku.
Ada beberapa cara dalam menjaga kesihatan buah pinggang termasuk mengelak daripada melakukan rutin yang memberi tekanan kepada organ ini.

1. Tak minum air di waktu pagi
Selepas tidur, badan mengalami dehidrasi ringan kerana ginjal tetap bekerja menapis toksin walaupun tanpa bekalan cecair mencukupi.
Jika minuman pertama yang diminum ialah kopi atau teh, ginjal terpaksa bekerja lebih keras.
Sebaiknya, mulakan hari dengan segelas air kosong bagi membantu proses detoksifikasi dan mencegah pembentukan batu karang.

2. Menahan kencing
Kebiasaan menahan kencing terlalu lama boleh memberi tekanan kepada pundi kencing dan ginjal.
Kajian mendapati menahan kencing lebih daripada tiga jam meningkatkan tekanan darah, yang merupakan petunjuk tekanan terhadap ginjal.
Tabiat ini juga boleh melemahkan otot pundi kencing dan meningkatkan risiko jangkitan saluran kencing (ISK).

3. Tidak cukup rehidrasi selepas bersenam
Bersenam pada waktu pagi menghilangkan cecair dan elektrolit melalui peluh.
Minum air kosong sahaja kadangkala tidak mencukupi untuk mengembalikan keseimbangan cecair badan.
Oleh itu, amalkan pengambilan minuman mengandungi natrium dan karbohidrat bagi membantu proses rehidrasi, terutamanya selepas senaman berat atau ketika cuaca panas.

4. Melewatkan sarapan
Kebiasaan tidak bersarapan mengurangkan tenaga sekali gus paras gula dalam darah pun menurun.
Keadaan ini mencetuskan keinginan untuk mengambil makanan tinggi garam atau makanan diproses yang boleh mempercepatkan kerosakan ginjal.
Sarapan yang seimbang dengan sumber protein, buah-buahan, dan bijirin penuh dapat membantu menstabilkan hormon, tenaga, serta tekanan darah.