Bukan sekadar nasi 'dibungkus' daun kelapa... Ini 5 jenis ketupat popular, unik ada rasa tersendiri
KETUPAT sudah menjadi hidangan tradisional yang tidak dapat dipisahkan daripada budaya masyarakat Melayu, terutama ketika sambutan Hari Raya.
Selain menjadi pelengkap kepada juadah seperti rendang, serunding dan kuah kacang, ketupat juga hadir dalam pelbagai jenis bentuk, cara penyediaan serta rasa yang berbeza.
Setiap jenis ketupat sebenarnya memiliki keunikan tersendiri, sama ada daripada segi bahan yang digunakan, teknik membungkus mahupun asal-usulnya yang berkait rapat dengan tradisi sesuatu negeri atau komuniti dengan ciri identiti tersendiri.
Artikel kali ini, Kuali kongsikan lima jenis ketupat yang ada di Malaysia serta keistimewaan di sebalik setiap hidangan tradisional ini.

1. Ketupat bawang
Ketupat bawang dikenali kerana bentuk fizikalnya yang bulat dan berisi menyerupai bentuk sebiji bawang.
Menariknya, ketupat ini memiliki bentuk 3 dimensi (3D) yang menjadi keunikan pada ciri ketupat bawang.
Bukan sekadar nama, ketupat bawang sebenarnya memiliki makna tersediri yang dikaitkan dengan simbol ketenteraman dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.

2. Ketupat palas
Ketupat palas merupakan sajian tradisi yang menggunakan beras pulut dan dibungkus menggunakan daun pokok palas.
Hidangan berbentuk segi tiga ini popular di negeri-negeri bahagian utara Semenanjung Malaysia seperti Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, serta di bahagian Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.
Berbeza dengan ketupat nasi, ketupat palas memiliki rasa berlemak kerana beras pulut yang dimasak bersama santan pekat, selain aroma khas daripada daun pokok palas itu sendiri.
Selain ketupat palas biasa, terdapat juga ketupat palas berinti seperti kacang, jagung dan serunding.

3. Ketupat nasi / ketupat sate
Ketupat nasi atau juga dikenali sebagai ketupat sate di sesetengah tempat diperbuat daripada beras yang dimasak di dalam kelongsong anyaman daun kelapa muda.
Berbeza dengan ketupat bawang, ketupat nasi atau ketupat sate ini memiliki bentuk segi empat, namun rasanya masih sama dengan ketupat bawang.
Juadah wajib ketika hari raya ini lazimnya dimakan bersama kuah kacang, rendang serta kuah lodeh.

4. Ketupat Borneo (buras/burasak)
Ketupat Borneo atau juga dikenali dengan panggilan buras atau burasak merupakan hidangan tradisional oleh masyarakat Bugis. Kalau di Malaysia, hidangan ini sangat popular di Johor serta Sabah.
Ketupat Borneo dibuat daripada beras yang dimasak separuh masak bersama santan dan sedikit garam untuk memberikan rasa berlemak.
Nasi yang telah dimasak bersama santan tadi kemudiannya akan dibungkus secara leper menggunakan beberapa helai daun pisang dan diikat dengan rapi.
Hidangan ini kemudiannya akan direbus dalam tempoh masa yang sangat lama iaitu antara empat hingga lapan jam. Proses ini penting untuk memastikan ketupat yang dimasak betul-betul padat dan tahan lama.
Selain dimakan bersama rendang atau serunding, ketupat Borneo ini juga sering dinikmati bersama lauk berkuah seperti kari dan asam pedas.

5. Ketupat sotong
Ketupat sotong atau juga dikenali sebagai sotong sumbat merupakan juadah tradisional popular di Pantai Timur iaitu di Kelantan dan Terengganu.
Jika hidangan ketupat lazimnya menggunakan daun sebagai kelongsong, ketupat sotong pula menggunakan sotong yang disumbat dengan beras pulut.
Sotong yang telah disumbat dengan beras pulut kemudiannya akan direbus di dalam santan sehingga isinya masak sempurna.
Uniknya, terdapat perbezaan antara ketupat sotong Kelantan dan Terengganu. Ketupat sotong Kelantan memiliki rasa yang lebih manis kerana kuah santannya menggunakan gula Melaka menjadikannya berwarna kecoklatan.
Ketupat sotong versi Terengganu pula memiliki kuah berwarna putih iaitu santan asli. Rasanya lebih berlemak dengan tambahan bahan seperti halia dan bawang merah.
