Tak sensitif! Tindakan individu letak mangkuk mi daging khinzir di ruang halal 'food court' amat dikesali
TINDAKAN seorang individu meletakkan mangkuk diisi makanan tidak halal di ruang khas untuk peralatan halal di sebuah pusat penjaja terkenal mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pelanggan Muslim.
Kejadian dilaporkan berlaku di Old Airport Road Food Centre, Singapura di mana rak pemulangan dulang dan pinggan bagi makanan halal didakwa dipenuhi mangkuk bak chor mi iaitu sajian mi menggunakan daging babi cincang.
Situasi tersebut mula tular selepas seorang lelaki dikenali sebagai Abdul Latiff berkongsi beberapa gambar yang diambil pada April lalu.
Menurutnya, perkara ini bukan berlaku sekali malah didakwa sering dilakukan oleh individu sama tanpa mempedulikan sensitiviti pengunjung Muslim.
"Perkara ini selalu berlaku. Ada individu yang kerap meletakkan bekas makanan mengandungi babi di ruang pemulangan peralatan halal," dakwanya.

Dia turut mendakwa pernah menegur individu terbabit supaya lebih menghormati pengunjung lain dan memahami kepentingan pengasingan makanan halal serta tidak halal.
Bagaimanapun, teguran itu dikatakan tidak diterima dengan baik.
"Bila saya tegur, dia marah dan cakap dia boleh letak bekas makanan di mana saja dia mahu," ujarnya lagi.
MENARIK DIBACA: Rahsia orang dulu masak sedap lain macam! Kena sabar, guna petua pecah minyak 3–4 kali
MENARIK DIBACA: 'Port' makan di Indonesia jadi bualan! Ramai rela bayar mahal, tolak 'street food' - "Cirit, muntah baru kau tahu langit tinggi rendah"
Di Singapura, semua pengunjung pusat penjaja diwajibkan membersihkan meja dan meletakkan sendiri dulang serta bekas makanan selepas selesai makan.
Kebanyakan pusat makanan di negara itu turut menyediakan ruang berasingan bagi bekas makanan halal dan tidak halal sebagai langkah menjaga sensitiviti pelanggan pelbagai kaum dan agama.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian ramai terutama dalam kalangan pelancong dan masyarakat Muslim yang berharap semua pihak lebih menghormati peraturan sedia ada.
"Tolong beri kesedaran kepada semua pengunjung supaya saling menghormati dan memahami antara satu sama lain," katanya.
Dalam Islam, status halal bukan hanya bergantung kepada bahan makanan semata-mata tetapi turut melibatkan aspek kebersihan dan pencemaran silang.
Peralatan yang bersentuhan dengan makanan tidak halal juga boleh menjejaskan tahap halal sesuatu hidangan jika tidak diurus dengan betul.