Ramai kagum lihat kegigihan 'content creator' India masak nasi lemak - "Terbaik aku pernah tengok"
TAK dinafikan ramai individu dari luar negara pernah mencuba menghasilkan nasi lemak, hidangan yang cukup sinonim dan dekat di hati rakyat Malaysia.
Bagaimanapun bukan mudah untuk menyediakan sajian itu secara autentik kerana setiap elemen dalam hidangan berkenaan memerlukan teknik dan ramuan yang tepat bagi mengekalkan rasa tradisionalnya.
Percubaan sekumpulan pencipta kandungan masakan dari India berjaya mencuri perhatian ramai apabila menghasilkan nasi lemak dalam skala besar yang bukan sahaja nampak menyelerakan, malah mendapat pujian netizen Malaysia.

Menerusi video yang dimuat naik oleh saluran masakan Villatic Foods, mereka dilihat menyediakan setiap bahan nasi lemak dengan teliti bermula daripada nasi santan, sambal tumis, ayam goreng, ikan bilis, kacang goreng sehinggalah telur rebus dan hirisan timun.
Apa yang lebih menarik perhatian ramai adalah cara penyediaan makanan itu yang kemas, teratur dan bersih sepanjang proses memasak.
Perkara itu turut dikongsikan seorang pengguna Threads yang kagum melihat kesungguhan mereka menghasilkan hidangan kebanggaan Malaysia tersebut.
"Ni bukan gambar AI, ni gambar 'real'. 'First time' aku tengok orang dari negara India masak nampak menyelerakan.
MENARIK DIBACA: Influencer kongsi resipi pelik warisan keluarga! Masak ayam dalam Coke, hasilnya enak
MENARIK DIBACA: Teknik ‘no oil no butter’ jadi trend, makanan sihat dimasak influencer buat ramai terliur
"Bangga jap makanan kegemaran rakyat Malaysia. Diaorang buat nasi lemak memang terbaik yang aku pernah tengok.
"Sangat bersih dan kemas, resipi cukup lengkap dengan telur, timun, ikan bilis, kacang, sambal dan ayam goreng," tulisnya.
Sejak dimuat naik pada Isnin, video berkenaan meraih lebih 16 juta tontonan selain menerima lebih 440,000 tanda suka daripada pengguna media sosial di seluruh dunia.
Di ruangan komen, rata-rata netizen Malaysia memberikan reaksi positif dan mengakui hidangan yang dihasilkan kelihatan cukup menyelerakan.

Malah, ada juga yang mengambil peluang berkongsi beberapa cadangan bagi menambah lagi keaslian rasa nasi lemak tersebut.
"Terliur pula pagi-pagi tengok nasi lemak ayam berempah ni. Bangga tengok!
"Kalau nak tambah sedap, boleh masukkan serai, belacan dalam sambal.
"Orang kat Malaysia pun belum tentu boleh masak nasi lemak sedap macam ni!" antara komen netizen.