Doktor mengaku letak garam dalam makanan anak usia 7 bulan - "Bayi pun nak makan sedap"
ISU pemakanan bayi sering menjadi perdebatan di media sosial termasuklah penggunaan garam dan gula dalam makanan si kecil.
Terbaharu, seorang wanita mencetuskan perbincangan di Threads apabila berkongsi pandangan sepupunya yang juga seorang doktor mengenai pemberian makanan bergaram kepada bayi seawal usia tujuh bulan.
Menurut wanita itu, sepupunya berpendapat sedikit garam dalam makanan bayi bukanlah sesuatu yang terlalu membahayakan jika dibandingkan dengan risiko anak menolak makanan hingga menjejaskan kesihatan.
"Wey sepupu saya doktor dan dia sendiri mengaku dia masak makanan anak dia letak garam.

"Dia cakap, lebih baik anak makan daripada menolak makan sampai kurang darah lagi bahaya walaupun anak dia baru tujuh bulan," kongsinya.
Tambah wanita itu lagi, sepupunya percaya manusia sememangnya diciptakan untuk menikmati makanan yang sedap dan tubuh juga memerlukan garam dalam jumlah tertentu.
"Dia kata memang dah Allah ciptakan kita ni manusia untuk makan yang sedap. Lama-lama dia pun teringin juga nak makan lagi sedap.
"Lagi satu badan kita memerlukan garam apa semua. Dia kata takkan ada budak yang boleh makan 'original' garam dari ikan bilis goreng atau sayur. Tapi jangan banyak-banyaklah letak garam,” ujarnya lagi.
MENARIK DIBACA: Cara betul cuci botol susu bayi tanpa guna sterilizer, tak cukup basuh guna sabun je!
MENARIK DIBACA: 'Port' makan di Indonesia jadi bualan! Ramai rela bayar mahal, tolak 'street food' - "Cirit, muntah baru kau tahu langit tinggi rendah"
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya kurang bersetuju dengan pandangan berkenaan.
Malah ada yang tampil menegaskan bahawa tidak semua doktor mempunyai kepakaran khusus dalam bidang pemakanan kanak-kanak.
"Saya doktor juga, tapi saya banyak belajar daripada orang yang memang bidangnya. Jadi anak saya baru makan memang tiada garam gula. Semua masak sendiri," tulis seorang netizen.
Seorang lagi warganet turut mempersoalkan kewajaran menjadikan alasan 'sedap' sebagai justifikasi untuk memperkenalkan garam kepada bayi terlalu awal.
"Allah memang ciptakan manusia untuk makan yang sedap? Tapi bukankah sebenarnya Allah suruh kita jaga tubuh dan kesihatan dengan elok?" katanya.
Tidak kurang juga yang bimbang tentang risiko kesihatan terutama melibatkan buah pinggang bayi yang masih belum matang.

"Amazing sanggup ambil risiko rosakkan buah pinggang anak sendiri," komen seorang warganet.
Dalam pada itu, ada juga yang berpendapat tindakan segelintir ibu bapa mungkin berpunca daripada kekangan masa untuk menyediakan makanan khas tanpa garam buat si kecil.
"Yang sebenarnya malas nak masak asing-asing, tiada masa cukup nak 'prepare'. Jangan sebab nak kurangkan rasa bersalah sampai sebar info tak tepat dekat 'public'," kata seorang lagi netizen.
Perdebatan itu sekali lagi membuka ruang perbincangan mengenai kepentingan mendapatkan panduan daripada pakar pemakanan, dietitian atau doktor pediatrik sebelum memperkenalkan sebarang bahan perasa tambahan dalam diet bayi.