Perhatian pesakit diabetes! Ini 7 buah-buahan boleh punca bacaan gula dalam darah melonjak

CABARAN terbesar pesakit diabetes adalah mengawal pemakanan dan diet harian agar bacaan gula di dalam darah tidak melonjak naik yang boeh menyebabkan pelbagai masalah lain.
Namun kebanyakan pesakit menganggap melebihkan pengambilan buah-buahan dalam diet seharian adalah pilihan terbaik dan lebih sihat berbanding juadah lain yang tinggi karbohidrat.
Tanpa disedari, ramai terlepas pandang mengenai pemilihan buah-buahan kerana tidak semua sesuai untuk pesakit kencing manis.
Ini kerana banyak buah-buahan dianggap sihat sebenarnya tinggi kandungan gula atau fruktosa dan boleh menyebabkan paras gula di dalam darah meningkat naik mendadak.
Berikut adalah senarai buah-buahan yang perlu dielakkan penghidap diabetes bagi mengelak masalah lain.

1. Buah delima
Buah delima atau Punica granatum merupakan salah satu buah yang kaya dengan nutrien penting seperti vitamin C, vitamin K, serat dan antioksidan.
Bagaimanapun saiz sederhana buah berkenaan mengandungi 38.6 gram gula yang menjadikan ia tidak sesuai dengan pesakit diabetes.
Kalau teringin sangat, pesakit hanya disarankan mengambil separuh daripada saiz sederhana bagi mengelak gula dalam darah meningkat secara mendadak.

2. Anggur
Ramai mengatakan anggur sesuai diambil oleh pesakit kencing manis namun hakikatnya setiap 100 gram anggur mengandungi sekitar 23.2 gram gula.
Bukan tak boleh makan, tapi sebaik-baiknya biarlah dalam kuantiti sederhana iaitu 50 gram sehari.

3. Mangga
Walaupun mengandungi nutrisi penting seperti vitamin A dan C, buah mangga tidak disarankan kerana kandungan gulanya yang tinggi iaitu 22.5 gram dalam sebiji buah mangga.

4. Pisang
Tidak dinafikan buah pisang merupakan antara buah yang sering menjadi pilihan ramai.
Namun pengambilannya haruslah berpada-pada memandangkan ia mengandungi karbohidrat yang tinggi termasuk kira-kira 15.4 gram gula.

5. Nanas
Nanas dikategorikan sebagai buah yang mempunyai indeks glisemik agak tinggi.
Semakin tebal dan besar saiz nanas, makan lebih banyak karbohidrat yang terkandung di dalamnya.
Sebaiknya, pilih nanas yang lebih muda atau gabungkan dengan makanan lain yang kaya dengan protein.

6. Buah kering
Buah kering seperti kismis selalunya mengandungi gula tambahan selalu melalui beberapa proses.
Jadi sebaik-baiknya elak mengambil buah kering dan menggantikannya dengan kekacang seperti badam.
Ini kerana kekacang membantu mengawal paras gula dalam darah memandangkan ia kaya dengan nutrisi seperti serat dan protein yang melambatkan proses pencernaan serta mencegah lonjakan paras gula dalam darah.

7. Kurma
Buah kurma memang banyak khasiat tetapi ia kurang sesuai dengan pesakit kencing manis kerana kandungan gula dan karbohidratnya tinggi.
Setiap 24 gram kurma Medjool mengandungi 67 kalori dan 18 gram karbohidrat.