Koleksi tip rebus kerang agar isi tak melekat di kulit, penting juga tahu helah peniaga elak ditipu
MASALAH isi kerang melekat pada kulit selepas direbus sememangnya pernah dihadapi kebanyakan individu yang sering masuk dapur.
Bagaimanapun, perkongsian seorang wanita di Threads membuatkan ramai mula sedar bahawa selama ini terdapat kesilapan kecil dalam cara merebus kerang, tetapi membawa kesan besar terhadap hasilnya.
Menerusi perkongsian tersebut, wanita itu berkata dia juga menghadapi masalah sama sebelum ini sehinggalah seorang individu yang berkongsi teknik merebus kerang dengan betul.
"Terima kasih yang ajar saya rebus kerang dengan betul hari tu. Kalau tak, asyik stres sebab kerang melekat pada kulit dia.
"Ini tip yang saya belajar cara sebenar rebus kerang iaitu panaskan air sampai mendidih dulu. Basuh kerang bersih-bersih, bila air dah mendidih terus masukkan kerang kemudian letak sedikit garam.
"Tutup periuk dengan penutup dan masak tiga minit sahaja sebelum tutup api.
"Satu lagi tip, lepas beli kerang kena terus rebus. Tak boleh simpan lama dalam peti sebab nanti kerang mati dan apabila direbus kulitnya akan melekat. Kalau nak simpan, rebus dahulu kemudian baru simpan," kongsinya.

Perkongsian itu mendapat perhatian ramai apabila ruangan komen dihujani pelbagai petua daripada netizen yang turut berkongsi pengalaman masing-masing bagi memastikan isi kerang kekal sempurna, manis dan mudah dikeluarkan.
Menurut beberapa netizen, perkara paling penting adalah memastikan kerang yang dibeli masih hidup sebelum dimasak.
"Tip sebenarnya beli kerang hidup. Kalau dah mati lama, guna tip apa pun dia akan melekat. Tapi kadang-kadang peniaga menipu. Kita beli di pasar, kerang masih bertanah kononnya baru ambil dari laut sebab masih ada tanah.
MENARIK DIBACA: Pajeri rambutan bukan menu pelik, ramai dah makan sejak kecil... Boleh juga masak kari
MENARIK DIBACA: Wanita pertahan pendirian ayam masak merah, ayam sambal tak sama! Perjelas perbezaan 2 menu
"Sebenarnya mungkin dah lama mati, tanah itu dicampur untuk nampak segar. Bila rebus tak terbuka, tanah saja lebih," kongsi seorang warganet berdasarkan pengalamannya.
Seorang lagi netizen turut bersetuju bahawa kerang yang sudah mati menjadi punca utama isi melekat pada kulit.
"Kalau rebus kerang dan isi melekat pada kulit, tandanya kerang itu dah mati dan masuk peti ais. Beli kerang hidup-hidup, kalau rebus isinya cantik saja," katanya.

Selain kaedah merebus menggunakan air mendidih, ada juga yang berkongsi cara memasak kerang tanpa menambah air kerana dikatakan mampu mengekalkan rasa manis makanan laut itu.
"Cara saya, untuk elakkan kerang melekat dan isi kekal manis, masukkan kerang yang sudah dicuci bersih ke dalam periuk atau kuali. Masak sampai kerang keluarkan air sendiri.
"Kerang akan direbus dengan air daripada kerang itu sendiri dan rasanya lebih manis serta juicy. Hanya kerang dan periuk sahaja. Cara ini saya guna juga untuk masak lokan, tiram dan kupang," tulisnya.
Bagi yang mahukan rasa lebih wangi, beberapa netizen turut mencadangkan supaya bahan aromatik ditambah ketika merebus seperti serai, daun ketumbar, bunga kantan, daun kunyit atau daun limau purut.
"Kalau nak lagi sedap, rebus air dengan serai, daun ketumbar, bunga kantan, daun kunyit atau limau purut. Bila dah mendidih, masukkan kerang dan apabila agak-agak sudah masak, terus angkat dan lalukan dengan air paip.
"Kalau kukus pun okay, dia takkan melekat. Lepas cuci kerang, hiris bawang merah, ketuk bawang putih dan serai. Gaulkan sekali dengan sedikit garam, kemudian tabur semuanya atas pengukus. Pastikan beli kerang hidup," kongsi netizen lagi.