Daun bawang, serai ditanam di rumah sangat mudah nak hidup! Ketahui punca ramai gagal
PERNAH tak anda beli daun bawang atau serai, guna sikit sahaja untuk masakan tetapi bakinya layu dalam peti sejuk dan akhirnya dibuang begitu saja.
Perkara ini mungkin nampak kecil, tapi kalau kerap terjadi, banyak juga pembaziran yang berlaku.
Seorang pengguna Threads dikenali sebagai @kebon_dede berkongsi tip menanam sendiri serai dan daun bawang di rumah memandangkan cara penjagaannya cukup mudah.

Menurutnya, tak perlu kebun besar mahupun set berkebun mahal, cukup sekadar menggunakan sisa dapur dan sedikit ruang di rumah untuk mulakan langkah berjimat-cermat.
“Berhenti membazir duit beli serai dan daun bawang dekat kedai setiap kali nak masak.
“Ramai ingat susah, kena ada tanah luas. Sebenarnya guna je sisa dapur yang nak buang tu pun dah cukup.
“Aku dulu selalu beli daun bawang semata-mata nak hias sup, lepas guna sikit baki dia layu dalam peti ais. Sekarang aku petik ikut keperluan je — jimat, segar, dan zero waste,” tulisnya.
MENARIK DIBACA: 10 sayur mudah tanam di ruang kecil, cepat dapat hasil... Di apartment pun boleh berkebun!
MENARIK DIBACA: Tak susah pun! Lelaki ini kongsi step untuk 'beginner' mahu belajar tanam sayur di rumah
Berikut dikongsikan cara mudah tanam serai dan daun bawang di rumah:
SERAI
- Ambil batang serai yang masih ada bahagian 'tapak' atau akar di bawahnya.
- Rendam bahagian bawah dalam air sehingga akar mula keluar.
- Tukar air setiap hari supaya tidak berbau atau busuk.
- Bila akar sudah panjang, pindahkan ke dalam pasu atau terus ke tanah.
- Letakkan di kawasan yang mendapat cahaya matahari yang cukup.

DAUN BAWANG
- Potong bahagian putih yang masih ada akar, ukuran lebih kurang dua inci.
- Cucuk terus ke tanah yang lembap.
- Siram secara sederhana setiap hari.
- Dalam 3 hingga 4 hari, pucuk hijau baru akan mula tumbuh dengan cepat.
- Boleh terus dipetik ikut keperluan.
Tip penting
- Ramai orang gagal bukan sebab penjagaannya susah, tapi sebab rendam serai terlalu lama sampai ia reput dalam air.
- Jadi, pastikan air sentiasa ditukar setiap hari untuk elak jadi 'tempat pembiakan jentik-jentik' pula.