10 sayur mudah tanam di ruang kecil, cepat dapat hasil... Di apartment pun boleh berkebun!
SEBAGAI langkah berjaga-jaga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyarankan orang ramai mula menanam sendiri sayur-sayuran di rumah sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan makanan serta kenaikan harga barang.
Pebagai reaksi diterima dalam kalangan masyarakat apabila masing-masing mempersoalkan cadangan tersebut, terutama mereka yang tinggal di bandar.
Kawasan untuk bercucuk tanam menjadi isu utama apabila rata-rata melihat cadangan itu sebagai mustahil dilakukan kerana lokasi kediaman yang tidak sesuai.

Sebenarnya, terdapat sayur-sayuran yang tidak memerlukan tanah luas untuk ditanam dan mampu memberikan hasil yang baik walaupun cuma di dalam pasu.
Jom Kuali kongsikan 10 jenis tanaman sesuai untuk ditanam di rumah terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar dengan ruang terhad.

1. Sawi
Sayuran berdaun ini sangat popular kerana cepat tumbuh dan mudah dijaga.
Sawi juga tidak memerlukan ruang besar dan boleh ditanam dalam pasu atau bekas kitar semula seperti botol plastik.
Sawi lazimnya boleh dituai dalam tempoh 25 hingga 35 hari selepas disemai.

2. Bayam
Bayam menjadi salah satu tanaman sayuran yang paling mudah ditanam sama ada di dalam pasu atau polibeg.
Sayuran ini cuma memerlukan cahaya matahari yang cukup dan hanya disiram dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang, terutama ketika cuaca panas.
Hasil tanaman boleh dituai antara 21 hingga 30 hari selepas disemai.

3. Kangkung
Kangkung juga termasuk dalam senarai sayuran paling mudah ditanam di rumah kerana senang dijaga selain cepat tumbuh.
Sayuran ini boleh ditanam sama ada di dalam pasu atau secara hidroponik.
Kangkung yang ditanam sendiri juga lebih bersih kerana bebas serangan serangga perosak atau lintah, tidak seperti kangkung liar yang tumbuh di kawasan berair.
Kangkung boleh dituai antara tempoh 25 hingga 30 hari selepas disemai.

4. Daun sup
Menanam daun sup di rumah boleh menjadi salah satu aktiviti santai dan bermanfaat.
Terdapat dua cara menanam daun sup iaitu menggunakan keratan batang (lebihan dapur) atau biji benih.
Daun sup tidak memerlukan penjagaan rumit, cukup dengan menyiram tanaman ini satu hingga dua kali sehari (jangan terlalu basah).
Letakkan di tempat redup (teduh) selama tiga hingga empat hari pertama sebelum dipindahkan ke tempat yang mendapat cahaya matahari tidak langsung.
Anda boleh menuai hasil pertama seawal tiga hingga empat minggu selepas ditanam.
MENARIK DIBACA: Saintis beri amaran jangkitan virus baharu dari 'seafood', mangsa alami sakit mata kronik
MENARIK DIBACA: Ayam ungkep sama tapi tak serupa rendang... Keenakannya bikin tersandar lepas makan

5. Pudina
Menanam daun pudina adalah sangat mudah dan cepat membiak, terutamanya menggunakan kaedah keratan batang.
Tanaman ini sesuai ditanam dalam pasu untuk mengawal penyebarannya yang agresif.
Siram satu hingga dua kali sehari, terutamanya pada cuaca panas. Pastikan tanah sentiasa lembap tetapi tidak menakung air.
Daun pudina biasanya boleh mula dituai dalam tempoh tiga hingga empat minggu selepas ditanam, apabila pokok sudah rimbun dan akar kukuh.

6. Cili/cili padi
Tanaman ini popular dalam kalangan penduduk bandar kerana mudah dijaga dan hasil yang berterusan.
Cili boleh ditanam dalam pasu sederhana besar dan diletakkan di kawasan yang menerima cahaya matahari.
Pokok cili biasanya mula dituai sekitar 75 hingga 90 hari selepas disemai, bergantung kepada varieti.

7. Tomato ceri
Tomato ceri bukan sahaja sesuai ditanam di ruang kecil, malah ia juga menjadi elemen hiasan yang menarik.
Pastikan tanaman ini mendapat banyak cahaya matahari untuk pertumbuhan yang sihat.
Anda boleh menggunakan biji benih yang dibeli atau mengambil terus daripada buah tomato ceri yang segar.
Siram 1-2 kali sehari (pagi dan petang) untuk memastikan tanah sentiasa lembap, terutamanya jika ditanam dalam pasu.
Buah boleh mula dituai dalam masa 60 hingga 80 hari selepas disemai.

8. Pokok limau kasturi
Buah limau kecil ini boleh ditanam di dalam pasu dan memerlukan kawasan yang mendapat cahaya matahari penuh.
Menariknya, tumbuhan ini boleh menghasilkan buah sepanjang tahun.
Terdapat dua kaedah utama, iaitu melalui keratan batang (lebih cepat berbuah) atau semaian biji benih.
Bagaimanapun pokok limau kasturi mengambil masa yang agak lama untuk berbuah iaitu antara enam bulan hingga setahun.

9. Bendi
Bendi mudah tumbuh dan tidak memerlukan penjagaan rapi. Tanaman ini sesuai untuk kawasan kecil dan menghasilkan hasil yang banyak jika dijaga dengan baik.
Rendam biji benih dalam air suam selama dua hingga empat jam untuk mempercepatkan percambahan.
Bendi memerlukan cahaya matahari penuh (full sun) untuk berbuah dengan lebat.
Siram pokok dua kali sehari (pagi dan petang) untuk mengekalkan kelembapan, terutamanya semasa fasa berbunga dan berbuah.
Bendi boleh mula dituai sekitar 50 hingga 60 hari selepas ditanam.

10. Basil (selasih)
Herba aromatik ini mudah ditanam di dalam pasu kecil. Selain kegunaan dapur, basil juga menambah elemen estetik di kawasan balkoni atau dapur anda.
Tumbuhan ini boleh ditanam melalui keratan batang atau biji benih.
Basil perlukan cahaya untuk bercambah, jadi jangan tanam terlalu dalam. Benih akan bercambah dalam masa lima hingga 10 hari.
Basil boleh mula dituai dalam tempoh empat hingga enam minggu selepas ditanam, atau apabila pokok mencapai ketinggian kira-kira enam hingga lapan inci.