Pengguna tak disaran makan ikan merah dan siakap besar, berat... Ini fakta anda perlu tahu
IKAN merupakan antara sumber protein yang menjadi pilihan ramai, namun tidak semua jenis sesuai dimakan kerana saiz dan habitatnya juga perlu diambil kira.
Salah satu risiko yang perlu diberi perhatian ialah 'ciguatoxin', iaitu toksin semula jadi yang boleh menyebabkan keracunan makanan dikenali sebagai Ciguatera Fish Poisoning (CFP).
Memetik laman Kreazindo, toksin 'ciguatoxin' dihasilkan oleh mikroalga laut dikenali sebagai 'dinoflagellates' yang berkembang biak di dalam badan ikan, khususnya spesies pemangsa yang hidup di kawasan terumbu karang melalui rantaian makanan.

Justeru, kita tidak digalakkan makan ikan pemangsa bersaiz melebih dua kilogram kerana semakin besar dan berat saiz ikan pemangsa, dipercayai semakin tinggi kandungan toksin yang terkumpul di dalam badannya.
Bagaimana 'ciguatoxin' ini boleh berada di dalam badan ikan pemangsa?
Punca asal: Mikroalga melekat pada rumpai laut di kawasan terumbu karang.
Ikan kecil: Ikan herbivor kecil makan rumpai laut tersebut dan menyimpan toksin dalam badan mereka.
Ikan pemangsa (besar): Ikan karnivor yang lebih besar makan banyak ikan kecil ini.
Toksin yang terkumpul tidak membunuh ikan pemangsa, tetapi akan menjadi sangat 'pekat' di dalam daging, kepala dan organ dalaman ikan yang beratnya melebihi dua kilogram.
Antara jenis ikan pemangsa berisiko tinggi adalah seperti:
- Siakap merah
- Siakap laut liar
- Kerapu
- Barakuda
- Snapper (jenahak)
- Mackerel
MENARIK DIBACA: Wanita 'bangga' jimat masa rebus telur ketika masak nasi, tak sedar bahaya menanti
MENARIK DIBACA: Bukan cuma dada ayam, ramai tak tahu bahagian 'thigh' juga tinggi khasiat
Salah satu perkara yang menjadikan 'ciguatoxin' berbahaya ialah toksin ini tidak boleh dihapuskan dengan kaedah memasak biasa.
Memasak ikan dengan cara menggoreng, merebus dan membakar walaupun pada suhu tinggi tidak menjamin toksin tersebut musnah. Proses pembekuan juga tidak semestinya dapat menghilangkan 'ciguatoxin'.
Lebih membimbangkan, ikan yang mengandungi toksin ini biasanya tidak menunjukkan perubahan ketara pada rupa, bau atau rasa.

Ini bermakna pengguna tidak boleh menentukan sama ada seekor ikan itu tercemar hanya dengan melihat atau menghidunya.
Seseorang yang termakan ikan mempunyai toksin ini biasanya akan menunjukkan gejala dalam tempoh satu hingga 24 jam seperti:
- Sistem pencernaan: Cirit-birit, muntah dan sakit perut teruk.
- Sistem saraf (neurologi): Kebas di bibir, lidah, tangan dan kaki.
- Simptom unik: Fenomena 'temperature reversal' iaitu sesuatu yang sejuk akan terasa panas membakar (contohnya, minum air sejuk terasa seperti air menggelegak).
- Kesan panjang: Keletihan melampau dan sakit sendi yang boleh berlarutan selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.
Antara langkah pencegahan yang boleh diambil pengguna termasuklah mengelak membeli atau makan ikan jenis pemangsa karang yang bersaiz besar dan beratnya melebihi dua kilogram.

Selain itu pengguna juga disarankan supaya tidak makan bahagian kepala, telur, hati dan organ dalaman ikan kerana bahagian ini menyimpan kepekatan toksin paling tinggi.
Paling utama, pastikan ikan terutama jenis pemangsa yang dibeli datang daripada sumber tangkapan atau ternakan (akuakultur) yang sah dan selamat.
Sebagai langkah rawatah, jika seseorang mengalami gejala seperti muntah, cirit-birit atau simptom seperti kebas selepas makan ikan yang disyaki tercemar, mereka perlu mendapatkan pemeriksaan perubatan dan maklumkan kepada petugas kesihatan mengenai pengambilan ikan tersebut.