Jangan pandang rendah menu bajet! Makan nasi dan telur ada nilai nutrisi tinggi, tak hanya kenyang
NASI dan telur sememangnya menjadi makanan yang cukup sinonim dengan masyarakat di Malaysia.
Selain mudah disediakan, gabungan kedua-dua makanan ini juga sering menjadi pilihan untuk mereka yang mahukan hidangan ringkas, mengenyangkan dan tidak memerlukan kos tinggi.
Malah, hidangan nasi kosong bersama telur turut menjadi pilihan golongan bujang atau dijadikan menu 'hujung bulan' kerana apa yang penting perut perlu kenyang untuk meneruskan aktiviti harian.
Tidak hairanlah kebanyakan kedai menawarkan menu 'nasi bujang' yang biasanya terdiri daripada nasi putih, telur goreng dan sup kosong.
Di sebalik kesederhanaan menu ini, masih ramai tak sedar gabungan nasi bersama telur sebenarnya mempunyai nilai pemakanan yang menarik.

Menurut perkongsian oleh laman Zonasehat.today, pakar pemakanan menyebut bahawa kombinasi nasi dan telur mampu menyamai kualiti protein daripada daging.
Walaupun kedua-duanya berasal daripada sumber makanan ringkas, iaitu tumbuhan dan haiwan, gabungan ini dapat melengkapkan asid amino penting yang diperlukan oleh tubuh.
Ini bermakna, seseorang tidak semestinya perlu bergantung kepada daging untuk memenuhi keperluan protein harian.
Jika digabungkan dengan betul, makanan yang mudah disediakan di rumah seperti nasi dan telur tetap boleh menyokong pertumbuhan otot, meningkatkan daya tahan tubuh serta menyumbang kepada kesihatan secara keseluruhan.
MENARIK DIBACA: Pencuci mulut dlabel 'sampah'! Fazley Yaakob nasihat manusia tak berhak hina makanan
MENARIK DIBACA: Anak muntah, pelanggan pengotor tukar pakaian atas meja makan... Lampin buang bawah kerusi
Nasi merupakan sumber utama karbohidrat yang membekalkan tenaga kepada badan, manakala telur pula mengandungi protein lengkap yang mempunyai kesemua sembilan asid amino penting yang tidak dapat dihasilkan sendiri oleh tubuh.
Asid amino penting dan diperlukan badan untuk pelbagai fungsi termasuk pembinaan dan pembaikan tisu serta menyokong proses berkaitan otot dan sel.
Menariknya, protein dalam telur juga dikenali sebagai protein berkualiti tinggi dan mudah dihadam oleh tubuh.
Apabila nasi dan telur digabungkan dalam satu hidangan, kedua-duanya saling melengkapi dari sudut pemakanan.

Nasi menyumbang karbohidrat sebagai sumber tenaga, sementara telur menyediakan protein yang membantu memenuhi keperluan protein harian.
Gabungan ini juga boleh menjadi pilihan makanan yang lebih 'mesra poket' berbanding hidangan berasaskan daging, terutama bagi mereka yang mencari hidangan ringkas tetapi tetap mempunyai nilai pemakanan.
Walaupun begitu, hidangan nasi dan telur sahaja tidak semestinya memenuhi semua keperluan nutrisi seseorang.
Untuk menjadikannya lebih seimbang, hidangan tersebut boleh dilengkapkan dengan sayur-sayuran dan sumber serat lain serta buah-buahan mengikut keperluan.