'Ketepikan' teh hijau, teh bunga raya paling kaya antioksidan - Kajian
AIR teh bunga kekwa atau lebih dikenali sebagai Chrysanthemum mungkin sudah biasa kita dengar, malah mudah ditemui dalam bentuk kemasan kotak yang dijual di pasaran.
Pernahkah anda mendengar tentang teh bunga raya (hibicus tea)? Mungkin ramai tidak tahu bahawa bunga raya sebenarnya boleh diproses untuk dijadikan minuman.
Kelebihan teh bunga raya dikatakan jauh lebih baik mengatasi teh hijau kerana memiliki kandungan antioksidan yang sangat tinggi.

Memetik laporan Mother Nature Heals, teh bunga raya yang memiliki warna seperti merah delima memiliki manfaat terhadap kesihatan khususnya dalam membantu melindungi sel-sel tubuh daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Perkara tersebut terbukti hasil daripada kajian yang membandingkan 282 jenis minuman yang mendapati teh bunga raya berada di kedudukan teratas dari segi kandungan antioksidan.
Penemuan tersebut sekali gus menjadikan teh bunga raya antara minuman berasaskan tumbuhan paling kaya dengan sebatian bermanfaat untuk tubuh manusia.
MENARIK DIBACA: Aaron Aziz ada prinsip diet sendiri, sarapan pagi dianggap tak begitu penting
MENARIK DIBACA: Lelaki puji 'melambung' Nasi Ayam Mama Tini! Komen 'emo' Zila Bakarin buat ramai terhibur
Selain kaya dengan antioksidan, beberapa kajian turut menunjukkan teh hibiscus berpotensi membantu menyokong kesihatan tubuh dalam beberapa aspek, antaranya:
- Membantu mengekalkan tekanan darah yang sihat.
- Menyokong kesihatan jantung.
- Membantu menyokong metabolisme yang sihat.
Teh bunga raya boleh dinikmati dalam keadaan panas mahupun sejuk mengikut cita rasa masing-masing.

Rasanya yang sedikit masam dan menyegarkan menjadikannya pilihan sesuai untuk diminum pada bila-bila masa, selain menjadi cara mudah untuk menambah pengambilan sebatian tumbuhan yang bermanfaat dalam diet harian.
Walaupun hanya dihasilkan daripada sekuntum bunga, teh bunga raya membuktikan bahawa amalan harian yang ringkas mampu memberi sumbangan besar kepada kesihatan apabila digabungkan dengan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat.
Bagaimanapun, manfaat tersebut mungkin berbeza bagi setiap individu dan teh bunga raya tidak boleh dianggap sebagai pengganti ubat atau rawatan perubatan yang ditetapkan oleh doktor.