Ketahui jenis pisang tak sesuai buat kek dan 'muffin', silap pilih bantat jadinya
KECEWA rasanya apabila kek atau 'muffin' pisang yang dibuat tidak menjadi seperti diharapkan.
Sebenarnya, pemilihan jenis pisang memainkan peranan penting dalam menentukan tekstur dan rasa kek.
Seorang individu berkongsi petua mengenai jenis pisang sesuai digunakan untuk menghasilkan kek atau 'muffin' pisang.
Menurutnya, tidak semua jenis pisang memberikan hasil sama pada masakan kerana kandungan dan tekstur berbeza.

"Sejak awal lagi ibu berpesan supaya tidak menggunakan pisang emas untuk buat kek.
"Dulu tak pernah tanya kenapa, sekarang bila buat 'muffin' baru jadi tertanya," kongsinya menerusi Threads.
Wanita itu menjelaskan, pisang emas mempunyai sedikit lebih berair berbanding jenis pisang lain.
Keadaan itu menyebabkan penggunaan pisang emas dalam adunan kek perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati, terutama dari segi sukatan.
MENARIK DIBACA: Peniaga bazar perlu patuh 4 syarat ini sebelum berniaga, pakai cincin antara larangan ketika kendali makanan
MENARIK DIBACA: Serik kejadian lalu, wanita kini lebih tenang selepas letak label pada tong gas
"Kalau tak ada pilihan, boleh juga guna tapi ambil sudah masak ranum, ada hitam-hitam sedikit.
"Kemudian lenyek dulu baru timbang. Pisang akan berair jadi perlu lebih berhati-hati," jelasnya.
Menurutnya, kesilapan dalam sukatan boleh menyebabkan kek menjadi bantat dan kurang naik kerana kandungan air berlebihan dalam adunan.

"Kalau lebih air, terlebih campuran, jadi lagi teruk dan liat," tulisnya.
Selain pisang emas, dia turut berkongsi bahawa pisang putar atau pisang kapas juga mungkin kurang sesuai untuk menghasilkan kek kerana teksturnya yang lebih pejal dan aromanya tidak begitu kuat.
"Pisang ini lebih sesuai buat goreng, pengat. Kalau tukang buat roti lain mungkin mempunyai pandangan berbeza berdasarkan pengalaman masing-masing," kongsinya lagi.
Jadi, sebelum terus lenyek pisang dan masukkan ke dalam adunan kek, kenal pasti dahulu jenis pisang digunakan agar hasil 'muffin' atau kek tidak menjadi bantat, liat atau terlalu berair.