Nelayan kongsi punca ikan pari bau hancing, netizen beri petua elak pembaziran
TERMAKAN ikan pari berbau hancing pasti akan membuatkan selera terbantut dan jika membelinya di pasar pula semestinya akan membuatkan pelanggan berasa kecewa.
Itulah yang dialami seorang wanita apabila terhidu bau kurang menyenangkan pada ikan pari dibelinya ketika mahu mula memasak.
Enggan membazir, dia cuba mendapatkan pandangan netizen dengan bertanyakan petua untuk menghilangkan bau hancing tersebut.
Menurut perkongsiannya di Facebook, dia sudah mencuba merendam ikan berkenaan dalam air asam jawa tetapi baunya masih ada.
"Serius nak tanya macam mana nak hilangkan bau hancing ikan pari, masa beli tak perasan pula. Balik rumah nak masak baru perasan ikan pari ni ada bau hancing.
"Saya dah cuba rendam air asam jawa tapi macam tak hilang pula, ada lagi baunya. Ke kena rendam lama? Help me please," tulisnya.

Di ruangan komen, pertanyaan itu dihujani pelbagai respon netizen yang tampil berkongsi pengalaman masing-masing.
"Pengalaman saya sebagai nelayan, pari kalau hancing (punca) sebab ikan dah lama atau cara penyimpanan tidak betul, misalnya terdedah tanpa ais lama atau dah dua hingga tiga kali defrost. Tengok daging parinya pun dah lama puan. Kalau kuat sangat baunya baik buang.
"Setahu saya kalau dah bau hancing tu kau rendamlah dengan apa pun tetap bau tak hilang. Arwah mak saya pernah kena, dah rendam dengan asam jawa, garam, asam limau, tepung ingatkan dah okay terus masak, memang tak boleh makan, buang satu periuk.
MENARIK DIBACA: Kedai 'ghaib' lepas pelanggan buat aduan keracunan makanan, KKM tak dapat siasat
MENARIK DIBACA: Keropok lekor 'homemade' guna lebihan nasi, lebih 'fresh' dari beli di kedai
"Pesan saya pada yang nak beli ikan pari kena hidu atau bau dulu. Itulah petua arwah mak saya, maaf sekadar kongsi pengalaman," antara komen netizen.
Bagaimanapun, ada juga netizen yang mencadangkan beberapa cara untuk menyelamatkan ikan pari tersebut daripada dibuang.

"Potong nipis-nipis kemudian bubuh garam campur cuka dan perap tiga jam, basuh dan toskan. Bubuh garam, gaul-gaul dan jemur buat ikan masin. Nak dibuang sayang.
"Rendam air asam jawa pekat lama dalam sejam. Tapi kalau masih ada bau buang je la, tak boleh makan dah tu.
"Perap dengan cuka je, sedangkan daging, ayam atau ikan yang dah busuk kalau cuci dengan cuka jadi segar elok sedap isinya. Kalau hancing macam tu elok perap biar lama sikit, dekat nak masak baru cuci dengan air," antara komen warganet.
Beberapa netizen mengingatkan supaya pelanggan lebih berhati-hati sebelum membeli ikan pari dengan memastikan ia tidak berbau.
"Masa beli cium dulu, petua orang tua-tua. Kalau dah terbeli susah nak buat, tak boleh nak makan.
"Sebab tu saya kalau beli ikan pari cium dulu bau hancing ke tak, kalau ikan pari hancing memang tak boleh masak bau dia pun tak hilang," komen warganet lagi.