Rahsia nasi cantik, tak berkerak lepas dimasak... Petua untuk 'rice cooker' dan periuk biasa
MEMASAK nasi bukannya senang, perlu ada teknik untuk elakkannya daripada mentah dan masalah hangus di bahagian bawah.
Kalau salah teknik, kerak yang tebal boleh buat sebahagian nasi jadi keras dan melekat sampaikan terpaksa dikikis ketika mahu cuci periuk.
Seorang netizen di laman Threads mencuri perhatian apabila berkongsi gambar nasi yang dimasak langsung tiada kerak.

“Boleh tak nak flex kita masak nasi tak pernah ada kerak?” tulisnya.
Bagaimanapun, individu tersebut tidak pula berkongsi rahsia di sebalik teknik memasaknya menyebabkan netizen tertanya-tanya.
Bagi menjawab persoalan itu, ada beberapa individu berkongsi petua mereka di ruangan komen hantaran tersebut.
MENARIK DIBACA: 5 cara rendahkan kandungan gula dalam nasi putih... Boleh makan tanpa risau
MENARIK DIBACA: Makan nasi sejuk ada manfaat... Patutlah perut orang dulu 'kebal' jarang gastrik, angin
Antara petua yang ramai amalkan ialah teknik ‘rehatkan nasi’ seketika selepas masak seperti dikongsikan seorang pengguna.
Menurutnya, dengan cara ini wap panas dapat diserap semula dan nasi menjadi lebih sekata tanpa mengeras di bahagian bawah.
“Dia senang je. Dah masak tu, tutup 'plug'. Jangan cedok terus, biarkan 10 hingga 15 minit baru cedok. Dapat tip ni pun dari orang kampung dulu," komen pengguna tersebut.

Ada juga yang menekankan faktor paling penting iaitu jumlah air ketika memasak nasi bagi mengelakkan lebihan wap berkumpul di bahagian bawah periuk.
“Air jangan banyak sangat. Biar just nice. Sebaik sahaja suis tendang ke ‘warm’, terus tutup 'plug' dan buka penutup rice cooker sampai semua wap keluar," kongsi seorang pengguna lagi.
Menariknya, masih ada dalam kalangan netizen memasak tanpa menggunakan periuk nasi elektronik tetapi hasilnya tetap sama, tak berkerak.
“Nak flex saya masak guna api dan tak berkerak. Sebab malas dah nak guna 'rice cooker'. Dah tiga rice cooker tak bertahan dan rosak," tulisnya di ruangan komen.