Nampak sama tapi tak serupa! Ini cara nak bezakan santan segar asli dengan campuran
SETIAP individu yang gemar memasak pasti tidak dapat lari daripada menggunakan santan dalam pelbagai juadah.
Terbaharu, timbul kebimbangan dalam kalangan pengguna apabila terdapat dakwaan santan campuran dijual oleh peniaga tidak bertanggungjawab.
Justeru, seorang pengusaha kuih-muih klasik yang dikenali sebagai Moolek Maneh tampil berkongsi tip mudah di TikTok untuk membezakan antara santan segar asli dan santan campuran menerusi satu video yang dimuat naik.

Video pendek membandingkan dua jenis santan segar dibeli itu membantu golongan mak-mak yang mahukan bahan masakan berkualiti untuk hidangan keluarga membuat penilaian.
"Dari segi rupa, santan campuran kebiasaannya kekal dalam keadaan sama walaupun disimpan di dalam peti sejuk. Warnanya juga konsisten putih atau putih susu tanpa sebarang perubahan ketara.
"Sebaliknya, santan segar akan menunjukkan perubahan semula jadi apabila disimpan. Ia akan berpisah antara pati santan dan air malah kadangkala kelihatan serdak atau hampas kelapa di bahagian tertentu.
MENARIK DIBACA: Wanita serik makan belangkas, ramai tampil kongsi pengalaman hitam serupa
MENARIK DIBACA: Wanita tukar susu badan jadi serbuk, sangat memudahkan urusan - "Keputusan terbaik pernah saya buat"
"Dari segi tekstur pula, santan segar biasanya lebih cair namun tidak terlalu cair, manakala santan campuran cenderung lebih pekat dan sedikit kenyal," kongsinya.
Pengusaha itu juga berkongsi tentang perbezaan rasa dan aroma dengan santan segar lebih berlemak serta sedikit manis selain harum.
Manakala, santan campuran pula dikatakan mempunyai aroma lebih tawar, malah ada yang hampir tidak berbau.

"Dalam masa sama, aspek ketahanan juga menjadi petunjuk penting. Santan segar lazimnya tidak tahan lama dan mudah basi, biasanya hanya mampu bertahan antara satu hingga dua hari bergantung kepada kaedah penyimpanan.
"Berbeza dengan santan campuran boleh bertahan lebih lama, malah ada mencecah sehingga seminggu. Ini berkemungkinan kerana sesetengah pengeluar menambah bahan seperti tepung atau bahan pengawet bagi memanjangkan jangka hayatnya," katanya.
Perkongsian tersebut nyata memberi panduan berguna kepada pengguna agar lebih peka dan berhati-hati ketika memilih santan, sekali gus memastikan kualiti masakan kekal terjamin.