Kopi ada logo halal didakwa diproses guna tong arak
KOPI yang mempunyai logo halal sepatutnya memberi keyakinan kepada pengguna Muslim, namun lain pula ceritanya apabila jenama kopi dari Indonesia didakwa menggunakan tong arak dalam proses penghasilannya.
Perkara itu mula menjadi perhatian selepas seorang pengguna Threads berkongsi mengenai produk berkenaan dan membandingkan standard pensijilan halal di Malaysia.
Produk berkenaan memaparkan logo halal Indonesia pada bungkusannya meskipun proses penghasilan dalam tong whisky menimbulkan keraguan pengguna.

"Kalau dekat Malaysia takkan lepas dapat halal ni. Ni bukan saya beli. Kawan Non-Muslim kasi hadiah," ujarnya.
Dalam kapsyen, lelaki itu turut memuat naik beberapa keping gambar jenama berkenaan yang tertera penerangan produk pada bungkusan.
Selain aspek pemprosesan, imej yang dipercayai dewa agama lain turut terpampang pada bungkusan produk tersebut.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya tergamam selepas membaca hantaran tersebut.
MENARIK DIBACA: Kedai tiada sijil halal, tapi ada label ‘no pork, no lard’... Boleh ke pelanggan Muslim makan?
MENARIK DIBACA: Ada logo halal, wanita masih risau nak makan ayam 'frozen' dari China... Suami suruh jamu kucing
Malah, ramai mempersoalkan ketelusan standard pensijilan halal di Indonesia serta mula berasa sangsi untuk membeli produk yang mempunyai logo halal berkenaan.
"Halal Jakim sangat susah nak dapat. Very details. Banyak proses dia. Dan bila dah dapat halal Jakim, terus product kita jadi kuat tanpa keraguan.
"Indonesia punya halal... aku pun was-was," tulis seorang lagi pengguna media sosial.
Menurut penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, pengambilan kopi yang diproses menggunakan tong arak adalah haram sekiranya berlaku percampuran antara biji kopi dengan molekul arak yang terkandung dalam tong tersebut.

Hal ini kerana syariat Islam melarang umat Islam daripada berurusan dengan arak berdasarkan sifatnya yang memabukkan dan merupakan sesuatu yang najis.
Penggunaan tong arak juga dikhuatiri secara tidak langsung mempromosikan industri arak, selain boleh menyebabkan perkara yang haram dan berdosa dianggap biasa dalam kehidupan seharian.
Justeru, isu pemprosesan kopi menggunakan bekas penyimpanan arak perlu dinilai berdasarkan kaedah pemprosesan sebenar, termasuk sama ada berlaku pencemaran dengan arak.