Kedai tiada sijil halal, tapi ada label ‘no pork, no lard’... Boleh ke pelanggan Muslim makan?
APABILA makan di luar, pelanggan beragama Islam pasti lebih berhati-hati dalam memilih restoran dan hidangan yang ingin dinikmati.
Selain mempamerkan logo atau sijil halal, ada restoran meletakkan label ‘no pork no lard’ bagi memaklumkan makanan mereka tidak menggunakan daging atau lemak babi.
Bagaimanapun, adakah label tersebut bermaksud makanan disediakan halal? Jawapannya, tidak semestinya.
Menurut maklumat berkaitan halal yang diterbitkan oleh Majelis Ulama Indonesia (MUI) dalam laporan media antarabangsa, status halal sesuatu makanan bukan hanya bergantung kepada ketiadaan daging babi atau lemak babi sahaja.

Sebaliknya halal turut melibatkan sumber bahan, cara sembelihan, bahan tambahan, cara penyediaan dan peralatan digunakan serta proses penyimpanan serta penyajian.
Berikut adalah beberapa perkara ditekankan mengenai konsep halal:
1.Pengertian ‘no pork no lard’
Secara ringkas, ‘no pork no lard’ bermaksud makanan disediakan tidak menggunakan daging babi atau lemak dan minyak berasal daripada haiwan itu.
Label berkenaan biasanya digunakan restoran atau kafe untuk memberikan maklumat kepada pelanggan mengenai bahan digunakan dalam makanan mereka.
Bagaimanapun, pengguna perlu memahami bahawa ‘no pork no lard’ amat berbeza dengan sijil halal dan ia merupakan dakwaan pihak restoran.
MENARIK DIBACA: 'Resign' kerja bank demi buka kafe, usahawan berjaya bangkit lepas 2 kali hampir bankrap
MENARIK DIBACA: Peniaga kongsi ramuan buat serbuk perasa, sesuai untuk pelbagai jenis masakan
Pensijilan halal melibatkan pemeriksaan lebih menyeluruh terhadap sesuatu produk atau premis, termasuk bahan mentah, bahan tambahan, proses penyediaan, penggunaan peralatan, penyimpanan serta pembungkusan dan penyajian.
Jadi, label berkenaan hanya memberi gambaran bahawa makanan tersebut tidak menggunakan daging atau lemak babi, tetapi tidak boleh dianggap sebagai pengesahan bahawa keseluruhan hidangan itu memenuhi piawaian halal.

2.Bukan babi sahaja perlu diberi perhatian
Ramai mungkin menyangka selagi sesuatu makanan tidak mengandungi babi, ia sudah selamat untuk dimakan oleh orang Islam.
Sebenarnya, terdapat pelbagai bahan lain turut perlu diberi perhatian kerana sumber dan proses penghasilannya mungkin berbeza.
Antaranya termasuk bahan perasa dan ramuan seperti serbuk perasa, kicap, minyak masak serta bahan tambahan makanan mempunyai titik kritikal dari sudut halal.
Malah ayam atau lembu juga perlu disembelih mengikut syariat bagi memastikan dagingnya halal.
Begitu juga dengan bahan tertentu digunakan dalam masakan seperti alkohol, bergantung kepada jenis dan penggunaannya.
Sebagai contoh, makanan menggunakan bahan halal boleh menjadi bermasalah sekiranya berlaku pencemaran silang dengan bahan tidak halal melalui peralatan, tempat penyediaan atau kaedah pengendalian tidak sesuai.

3. Cara pastikan makanan halal
Bagi pengguna Muslim, pilihan lebih meyakinkan adalah dengan memilih produk, restoran atau premis makanan mempunyai pensijilan halal rasmi daripada pihak berkuasa yang diiktiraf.
Pensijilan halal bukan sekadar melihat sama ada sesuatu hidangan mengandungi babi atau tidak, tetapi turut mengambil kira keseluruhan rantaian penyediaan makanan.
Jadi, jika terlihat papan tanda ‘no pork no lard’ ketika mencari tempat makan, jangan terus anggap maksudnya ‘sudah pasti halal’.
Label itu mungkin memberi sedikit keyakinan mengenai ketiadaan babi, tetapi untuk ketenangan hati, semak juga status pensijilan halal sebelum menjamu selera.