Beri kucing makan salmon dibeli 7 tahun lalu, reaksi si bulus buat ramai terhibur
SEORANG wanita yang mahu mengosongkan peti sejuk di rumahnya berdepan insiden lucu apabila dia menemui ikan salmon yang sudah tersimpan selama tujuh tahun.
Menerusi perkongsian di Threads, dia berkongsi foto sebungkus ikan salmon yang mana tertera tarikh 15 Disember 2019 pada pelekat tanda harganya.
“Jumpa artifak ber'hibernate' dalam 'freezer', lepas tujuh tahun baru jumpa. Ini 'level-level' saka kata laki aku,” katanya berseloroh.
Wanita itu tidak terus membuang salmon itu, sebaliknya ikan tersebut direbus untuk diberikan kepada kucing jalanan.

Malangnya percubaan untuk menjadikan salmon itu makanan kucing tidak berjaya apabila haiwan itu dikatakan langsung tidak berminat untuk menjamahnya.
“Saya rebus, 'offer' kat kucing jalanan, dia lalu tak menyinggah pun,” katanya.
Menjawab komen netizen yang ingin mengetahui punca ikan tersebut disimpan terlalu lama, wanita itu menjelaskan semuanya berpunca daripada tabiatnya apabila gemar membeli barang basah dan makanan dalam kuantiti banyak untuk dijadikan stok.
“Dulu suka beli banyak barang dan makanan, jadilah begini. Bila nak masak ambil yang atas-atas je,” jelasnya.
Perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai komen lucu netizen termasuklah yang menyifatkan salmon itu sudah menjadi sebahagian daripada sejarah keluarga.
MENARIK DIBACA: Kenapa bahan masakan ditumbuk guna lesung batu lebih sedap berbanding kisar?
MENARIK DIBACA: [V] Biskut dadu coklat tabur snek 'homemade' comel untuk si kecil
Malah, ada yang bergurau ikan tersebut sudah melalui pelbagai peristiwa penting negara sepanjang tempoh tujuh tahun berada dalam peti sejuk.
“Salmon ini menjadi sebahagian saksi sejarah negara pernah dilanda Covid-19 dan empat kali pertukaran perdana menteri.
“Dari saya sekolah menengah sampai dah jadi cikgu ni. Kak, alang-alang hantar dia pergi sekolah terus.
“Alamak, lama sangat ni. 2019 anak saya lahir, tahun ni dah sekolah darjah satu," antara komen netizen.
Dia tidak bersendirian apabila ada juga beberapa netizen turut berkongsi pengalaman sama ketika mengemas peti sejuk di rumah orang tua mereka.

"Aku jumpa halba bertarikh 1997 dalam peti sejuk rumah mak aku. Dia tak bagi buang sebab katanya halba elok lagi. Ayah aku terbeli sekilo pada tahun 1997," komen seorang pengguna Threads.
Ikan yang disimpan dalam peti sejuk beku selama tujuh tahun tidak digalakkan makan dan rosak dari segi kualiti, walaupun secara teorinya suhu yang sangat rendah menghentikan pertumbuhan bakteria.
Secara umum, tempoh selamat dan kualiti terbaik untuk menyimpan ikan mentah di dalam peti sejuk beku rumah pada suhu -18°C adalah sekitar tiga hingga enam bulan sahaja bergantung kepada jenis ikan (ikan berlemak atau kurang lemak).