Kenapa bahan masakan ditumbuk guna lesung batu lebih sedap berbanding kisar?
PERNAH tak anda terfikir kenapa masakan yang bahan-bahannya ditumbuk menggunakan lesung batu rasanya lebih sedap berbanding dikisar?
Seorang pengguna media sosial bertanyakan logik di sebalik perbezaan ini.
“Apa 'Sains' di sebalik masakan yang bahan-bahan ditumbuk selalunya rasa lebih sedap? Terutama nasi goreng.
"Padahal bawang, cili dan ikan bilis je rencahnya,” dia membangkitkan persoalan.

Kemusykilan tersebut mendapat perhatian pengguna lain yang memberikan teori dan andaian masing-masing.
Seorang netizen berkata, cara bahan dihancurkan sebenarnya mampu mengubah rasa dan bau masakan.
MENARIK DIBACA: Minyak kulit ayam bantu tumbesaran si kecil, kuatkan antibodi... Ini cara buat kiub 'frozen'
MENARIK DIBACA: Isi tak banyak, tapi leher ayam tinggi kolagen sama seperti bahagian kaki
"Apabila bawang, cili atau bahan lain ditumbuk menggunakan lesung batu, bahan tersebut hancur sedikit demi sedikit akibat hentakan dan geseran.
"Dalam proses ini, bahagian dalam bahan yang sebelum ini ‘terkunci’ akan terbuka dan mengeluarkan jus serta bau semula jadinya.
"Sebab itu kalau bawang atau cili ditumbuk, aromanya boleh terus menusuk hidung. Lagi lama ditumbuk, lagi kuat bau yang keluar," jelasnya.

Seorang lagi individu tampil memberikan penerangan dari sudut Sains.
"Sebab proses menumbuk akan hasilkan tekstur berbeza daripada 'blender'. Tekanan dan geseran lesung bantu pecahkan sel bahan dan keluarkan minyak pati dan aroma semula jadi bahan.
"Blender buat bahan jadi halus dan sekata. Sebab tu walaupun bahan sama, profail rasa dan nikmatnya boleh jadi lain.
"Proses ini berkait dengan pecahan sel dan pembebasan sebatian meruap," katanya.
Terdapat juga komen netizen lain yang mempunyai logiknya.
"Mungkin bila blend, kita campur air so dah jadi lain kesedapan tu.
"Serbuk-serbuk batu tumbuk tu perasa aslinya, sebab tu sedap lain macam.
"Tumbuk guna granit, blender guna bilah besi. Granit tak mengoksidakan makanan. Logam pula boleh menyebabkan pengoksidaan. Sebab tu pisau seramik pernah popular," antara komen netizen.
Bagaimanapun, ini bukan bermakna makanan yang dikisar menggunakan pengisar automatik tidak sedap.
Pengisar sebenarnya lebih cepat, mudah dan sesuai untuk menghasilkan pes yang halus serta sekata.
Cuma hasil akhirnya mungkin sedikit berbeza kerana bahan tersebut dihancurkan dengan cara tidak sama.