Minyak kulit ayam bantu tumbesaran si kecil, kuatkan antibodi... Ini cara buat kiub 'frozen'
KULIT ayam sering dianggap bahagian kurang sihat kerana kandungan lemaknya, malah ada yang memilih untuk membuangnya ketika memasak di rumah.
Bagaimanapun berbeza dengan seorang wanita yang berkongsi cara mudah memanfaatkan kulit ayam untuk dijadikan minyak bagi keperluan tumbesaran anaknya.
Menerusi perkongsian di Threads, wanita itu berkongsi resipi membuat minyak kulit ayam untuk digunakan ketika menyediakan masakan untuk si kecil.
Menurut bekas ahli farmasi itu, minyak daripada kulit ayam membantu menaikkan berat badan si manja, juga mampu memperkuatkan sistem pertahanan tubuh kanak-kanak.

"Meh sini mak-mak yang nak ikhtiar gemukkan dan kuatkan antibodi anak.
"Kalau ada kulit ayam, tolong sangat jangan buang, tapi jadikan minyak.
"Lepas tu boleh guna untuk titis atau tumis untuk makanan bayi. 'Auto' bayi berselera makan tak tipu, tak main-main ya!" kongsinya.
Dalam hantaran sama, wanita tersebut turut berkongsi langkah penyediaan minyak kulit ayam:
MENARIK DIBACA: Pemuda OKU pendengaran jadi barista di kafe sendiri, hasilkan kopi istimewa di Silent Brew
MENARIK DIBACA: Krim lemon berlemak, nikmat dimakan sejuk! Cuma guna 3 bahan, tak perlu bakar
Langkah penyediaan:
- Sediakan kulit ayam bersama lemak (bahagian paha dan thigh), cuci bersih kemudian toskan sehingga kering.
- Potong kecil-kecil supaya lemak lebih cepat keluar ketika dimasak.
- Goreng kulit dan lemak ayam tanpa minyak menggunakan api kecil. Kacau sekali-sekala sehingga lemak keluar dan kulit menjadi garing keperangan.
- Selepas minyak keluar sepenuhnya, tapis dan ambil minyaknya sahaja.
- Tuang minyak tadi ke dalam acuan kiub ais dan bekukan. Selepas minyak mengeras, keluarkan dan simpan dalam bekas bertutup
Cara penggunaan:
- Masukkan satu hingga dua kiub minyak kulit ayam ke dalam masakan untuk anak.
- Minyak kulit ayam boleh digunakan dalam masakan seperti tumisan bawang, sup, bubur dan nasi goreng.

Dalam perkongsian itu, dia memaklumkan bahawa minyak lemak ayam yang dihasilkan boleh bertahan selama seminggu jika dsimpan dalam peti sejuk dan tiga bulan jika disimpan di bahagiah sejuk beku.
Perkongsian tentang minyak kulit ayam itu turut mendapat respons daripada netizen yang tertarik untuk mencubanya sendiri di rumah.
Malah, ada netizen mendakwa sudah mengamalkan kaedah tersebut sejak dulu lagi.
"Makanan bayi saya. Wajib titis minyak ini," katanya.
Kulit ayam sememangnya mengandungi lemak, justeru ia boleh menjadi salah satu sumber tenaga dalam hidangan.
Bagaimanapun ia tetap perlu digunakan secara sederhana dan tidak bermakna lebih banyak lemak, lebih baik untuk kanak-kanak.