Tip simpan baki daun sup agar tak cepat layu, kekal wangi... Tiada lagi pembaziran!
KITA biasanya akan beli seikat daun sup di pasar basah atau pasar raya, tapi sebenarnya cuma nak guna sedikit sahaja dalam masakan atau dijadikan hiasan.
Bakinya yang masih banyak itu terpaksa disimpan sehingga menjadi layu dan menghitam di dalam peti sejuk.
Rasa bersalah dan membazir memang ada tetapi ramai yang kebuntuan idea bagaimana mahu memastikan bahan tersebuti kekal segar dan tahan lebih lama.
Seorang wanita di Threads mengadu mengenai kebuntuannya apabila daun sup yang digunakan dalam masakan masih banyak berbaki.

"Beli daun sup seikat sebab nak guna sikit je buat tabur atas sup. Baki lagi 90 peratus tu reda je la tengok dia perlahan-lahan layu dan hitam dalam peti sejuk. Rasa bersalah tapi tak tahu nak buat apa dah bagi dia tahan lama," tulisnya.
Perkongsian berkenaan mendapat perhatian ramai netizen yang tampil membalas hantaran tersebut dengan pelbagai petua dan tip mudah.
Menariknya terdapat netizen memberikan idea agar mengolah bahan untuk menjadi bahan perasa.
"Boleh keringkan guna air fryer kemudian kisar kasar, boleh simpan guna untuk seasoning atau tabur atas masakan," komen warganet.
MENARIK DIBACA: 3 kebaikan makan yogurt 'homemade'... Ini cara mudah penyediaan, nikmati tanpa ragu
MENARIK DIBACA: Label 'less sugar', hakikatnya tinggi gula! Ini cara kenal pasti yogurt 'sihat'
Selain itu, netizen turut mengesyorkan supaya daun sup dipotong dan dibekukan.
"Sis basuh daun tu gunting kecil-kecil letak dalam bekas bertutup jangan letak air, masukkan dalam peti ais frozen tau jangan chiller. Nanti bila nak masak keluarkan cepat-cepat ambil sikit tabur dalam sup kemudian simpan balik balance. Saya selalu buat macam ni daun sup kekal fresh. Bau pun wangi walaupun dah lama dalam peti.
"Basuh daun bersih-bersih dan keringkan. Basuh container bertutup dan keringkan, alaskan guna tisu. Tisu untuk dapur bukan tisu lap hingus. Simpan daun dalam bekas beralaskan tisu tu. Pastikan daun tu tak basah atau lembap," kongsi beberapa warganet.

Tidak kurang juga netizen yang berkongsi trik mudah menggunakan beg ziplock tanpa perlu dinyahbeku.
"Basuh bersih, potong, frozen dalam ziplock. Nak pakai goncang-goncang terus masuk periuk sup jangan defrost," komen netizen.
Seorang warganet pula turut berkongsi petua merendam bahagian akar di dalam botol air.
"Cara saya dulu isi air dalam botol 1500ml lepas tu letak daun sup/ketumbar dalam tu. Air suku atau separuh je bagi tenggelam akar. Dua minggu pun daun masih segar kehijauan," kongsinya.