Masak nasi lemak dalam hotel di Jerman... Arieni Adriena mohon maaf, sedar buat silap
TINDAKAN pempengaruh dan usahawan, Arieni Adriena memasak nasi lemak di dalam bilik hotel ketika bercuti di Jerman mengundang perhatian ramai.
Menerusi video yang dikongsikan di Threads, Arieni, 33, dilihat menyediakan nasi lemak menggunakan periuk elektrik, lengkap dengan pelbagai bahan untuk menghasilkan hidangan itu dari awal.
Bukan sekadar memanaskan makanan segera, dia turut memasak nasi menggunakan beras, santan, daun pandan dan rempah ratus.

Malah, telur mata kerbau turut digoreng, manakala sambal tumis dan rendang yang dibawa dalam pek sedia dimakan dipanaskan untuk melengkapkan hidangan.
Bagaimanapun, tindakan pengasas kafe Gula Cakery itu mengundang kecaman apabila ramai netizen menyifatkannya sebagai memalukan dan keterlaluan, lebih-lebih lagi apabila dilakukan di dalam bilik hotel.
Bukan itu sahaja, tindakan itu berkemungkinan melanggar peraturan hotel, selain menimbulkan risiko keselamatan.
MENARIK DIBACA: [V] Jualan cecah RM4 juta sebulan! Gula Cakery buka cawangan ke-16, pengasas kongsi rahsia kejayaan
MENARIK DIBACA: Ingatkan tak berbau tak ada masalah, ini sebab manggis dilarang masuk hotel
"Tolong jangan contohi! Apa negara sekali pun. Fire alarm boleh trigger satu hal. Bau tu paling penting. Masakan Malaysia, tumis-tumis, bau tu akan lekat kat dalam bilik," tegur seorang netizen.
Susulan menerima pelbagai teguran, video berkenaan kemudian dipadam daripada akaun media sosialnya.
Tidak lama selepas itu, Arieni tampil memohon maaf secara terbuka menerusi hantaran video di laman Threads.
Jelasnya, dia seharusnya lebih peka dan berjanji untuk lebih berhati-hati pada masa akan datang.

"Saya minta maaf atas video masak di hotel yang saya muat naik tadi. Saya akui silap saya, memang tak sepatutnya memasak di situ.
"Sepatutnya saya lebih peka terhadap peraturan dan isu keselamatan hotel. Saya langsung tak berniat untuk galakkan orang buat benda yang sama.
"Terima kasih atas teguran semua, saya ambil tanggungjawab dan akan lebih berhati-hati lagi selepas ini," katanya.