Teruja beli coklat Cameron Highlands, rupanya kilang sebelah rumah
TERASA tidak lengkap jika bercuti ke Cameron Highlands, Pahang jika tidak membeli hasil tempatan seperti buah-buahan, sayur-sayuran atau coklat sebagai buah tangan.
Seorang wanita turut tidak melepaskan peluang membeli coklat yang disangka dihasilkan di kawasan tanah tinggi itu.
Menerusi hantaran di Threads, dia berkongsi pengalaman yang dianggapnya lucu selepas menyedari coklat yang dibeli ketika berada di Cameron Highlands sebenarnya dihasilkan di sebuah kilang di Kepong, Selangor.

Lebih mencuit hati, wanita itu turut mendakwa kilang coklat tersebut hanya terletak berdekatan dengan rumahnya.
“Coklat ni jual merata kat Cameron Highlands.
“Kilangnya kat Kepong, seller just repack balik je jual kat sana.
“Gigih datang dari Lembah Klang, beli coklat Cameron Highlands rupanya kilang tepi rumah,” tulisnya.
MENARIK DIBACA: Penangan kuih lopes! Baru hidu bau pandan, gula merah perut terus rasa lapar
MENARIK DIBACA: [V] Biskut dadu coklat tabur snek 'homemade' comel untuk si kecil
Tambahnya, jumlah coklat yang terdapat dalam kotak itu adalah sebanyak lima biji.
"Buka je kotak besar tu, dapatlah lima biji," ujarnya.
Rentetan kejadian tersebut, ramai pengguna Threads lain turut berkongsi pengalaman sama ketika bercuti di Cameron Highlands.
Menurut salah seorang pengguna, dia mendakwa pernah membeli anggur yang dijual secara longgok di pasar malam kerana menyangka buah berkenaan ditanam di Cameron Highlands.

Ketika anggur tersebut hendak dibungkus, dia menyedari terdapat pelekat dengan tulisan 'Made of China'.
"Jagung Cameron, sayur Cameron, strawberi Cameron, keledek Cameron. Eh! Tiba-tiba terselit anggur China," katanya.
Ada juga netizen yang mengakui hampir membeli epal yang didakwa hasil dari Cameron Highlands sebelum mendapat maklumat berbeza daripada peniaga di kedai lain.
Kongsi pengguna tersebut, dia ertarik dengan buah epal merah bersaiz kecil yang dikatakan oleh seorang peniaga sebagai buah dari Cameron Highlands.
Gigih datang dari Lembah Klang, beli coklat Cameron Highlands rupanya kilang ‘tepi rumah'
PENGGUNA
Bagaimanapun, dia memilih untuk tidak membelinya terlebih dahulu kerana mahu berjalan-jalan sebelum merancang kembali semula ke kedai berkenaan.
Ketika berada di kedai lain, dia bertanyakan mengenai buah yang sama dan terkejut apabila peniaga tersebut memberitahu bahawa buah itu sebenarnya berasal dari China.
Perkongsian ini secara tidak langsung menjadi peringatan kepada pengunjung supaya lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan oleh peniaga yang sekadar mahu mengaut keuntungan.