KUALI | Trending

[V] Jualan cecah RM4 juta sebulan! Gula Cakery buka cawangan ke-16, pengasas kongsi rahsia kejayaan

Lead Image

PADA usia 18 tahun ketika ramai remaja lain sedang 'hanyut' dalam keseronokan, Arieni Adriena Mohd Ritzal sudah melakar langkah berani.

Arieni membina perniagaan sendiri dalam industri makanan dan minuman (F&B) berasaskan pastri dan kek.

Bermula dengan modal hanya RM20,000 hasil simpanan sendiri, gadis berjiwa besar ini menukar ruang dapur kediaman keluarganya di Kota Kemuning, Shah Alam menjadi 'kilang' pertamanya.

Arieni mengakui pernah beberapa kali berputus asa untuk memperkukuhkan jenama Gula Cakery sehingga ke tahap hari ini.

Tahun 2015 menyaksikan kelahiran Gula Cakery – jenama yang kini sinonim dengan pelbagai pencuci mulut dengan kualiti premium.

“Saya mula (bisnes) dengan apa yang ada. Saya jual kek dari rumah, guna untung kecil buka satu outlet demi satu outlet.

“Setiap sen dipusing balik ke dalam bisnes sehinggalah ia berkembang seperti hari ini,” ujarnya yang kini mengendalikan 16 cawangan dengan jualan mencecah RM4 juta sebulan.

Sokongan daripada keluarga dan suami menjadi tunjang utama kejayaan Arieni memperkukunkan jenama Gula Cakery.

Dari Pendidikan Awal Kanak-Kanak ke Dunia Usahawan

Walaupun latar belakang akademik Arieni dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, jiwanya jelas terpaut pada dunia perniagaan.

Perjalanan itu mungkinu jauh dari bidang asal, namun Arieni nekad meneruskan impian dengan semangat tidak mudah luntur.

“Saya selalu percaya pada prinsip ‘never stop learning’. Saya belajar resipi, operasi, kepimpinan – semuanya saya kutip satu demi satu,” katanya.

Arieni percaya, kunci kejayaan Gula Cakery bukan semata-mata pada resipi atau reka bentuk kedai.

MENARIK DIBACA: [V] Rupanya pucat dan rasanya hambar! Cicah dengan sambal ‘berapi’ baru tahu kehebatan sate taichan

MENARIK DIBACA: Dari ratu kosmetik ke dapur... Datin Isma dah ‘ready’ nak pencen, buka restoran Kantan sebab anak-anak - “Ada syarat perlu mereka penuhi”

Sebaliknya ia turut terletak pada ketekunan mencipta pencuci mulut baharu, mendengar maklum balas pelanggan, dan membangun pasukan kerja yang solid dan konsisten.

Kini, cawangan terbaharunya di The Curve, Mutiara Damansara menjadi simbol kejayaan dan kemewahan dengan konsep dalaman eksklusif, outlet itu mencerminkan perjalanan Gula Cakery.

“Jujurnya, saya tak pernah bayangkan akan buka di pusat beli-belah besar seperti The Curve. Tapi bila peluang itu datang, saya terima dengan hati terbuka dan penuh kesyukuran," katanya.

Majlis pembukaan cawangan Gula Cakery ke-16 di the Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini telah dirasmikan oleh Khairy Jamaluddin.

Cabaran: 400 Pekerja, 16 Cawangan & 3 Anak

Menguruskan 16 cawangan dan lebih 400 pekerja bukanlah satu tugas mudah, apatah lagi buat seorang ibu kepada tiga anak kecil namun Arieni tetap tabah.

“Bayangkan jaga tiga anak pun dah cukup mencabar, inikan pula ratusan staf dan outlet. Tapi saya percaya, selagi kita buat dengan ikhlas dan disiplin, rezeki akan ikut,” ujarnya.

Walaupun kejayaan tempatan sudah dalam genggaman, Arieni tidak berhenti bermimpi malah berhasrat melebarkan sayap Gula Cakery ke peringkat antarabangsa — bermula dengan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

“Nenek selalu pesan, ukur baju di badan sendiri. Saya bukan datang dari keluarga jutawan. Jadi, saya kena rancang betul-betul dan kumpul modal secukupnya dulu," kongsinya.

Gula Cakery di the Curve, Mutiara Damansara menawarkan konsep moden, mewah dan eksklusif.

Kepada generasi muda yang berminat menceburi dunia bisnes, Arieni berpesan supaya jangan takut untuk mencuba — asalkan ada sistem sokongan yang kukuh dari keluarga dan orang terdekat.

“Memang mula-mula kita akan takut, tapi jangan biar ketakutan itu jadi penghalang. “Saya sendiri pun pernah rasa nak putus asa. Tapi percayalah, rezeki itu ada kalau kita usaha,” katanya.

Arieni Adriena bukan sekadar seorang usahawan wanita — beliau adalah simbol harapan dan inspirasi buat mereka yang percaya bahawa kejayaan bermula dengan langkah pertama, walaupun kecil.

Daripada sebuah dapur rumah ke empayar pencuci mulut berjuta ringgit, kisah Arieni membuktikan satu perkara: dengan tekad, ilmu dan doa, tiada yang mustahil.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Trending

'Struggle' turunkan berat badan, buat IF pun tak jalan... Wanita mula nampak perubahan seminggu selepas amal makan telur rebus

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Trending

Nasib baik ‘keluar’ masa buang air besar, kes kanak-kanak tertelan keychain Ultraman patut dijadikan iktibar

Terhangat