Nasib baik ‘keluar’ masa buang air besar, kes kanak-kanak tertelan keychain Ultraman patut dijadikan iktibar
PASTI menggerunkan apabila sedang asyik menikmati hidangan, tiba-tiba tak disangka tertelan objek asing secara tidak sengaja.
Kedengaran memang menakutkan kerana berpotensi menyekat saluran pernafasan atau saluran penghadaman.
Silap-silap bukan sahaja sukar nafas malah boleh bawa maut.

Baru-baru ini, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun di Yilan, Taiwan, melalui detik cemas apabila secara tidak sengaja menelan rantai kunci Ultraman (keychain) ketika sedang mengunyah biskut sambil menonton televisyen.
Walaupun ada yang mungkin menganggapnya lucu, kejadian sebegini sebenarnya memberi pengajaran penting tentang betapa penting mengawasi anak-anak kecil terutamannya ketika makan.
Bukan apa, dalam sekelip mata apa-apa perkara buruk boleh terjadi jika kita terlepas pandang.
MENARIK DIBACA: Ada rahsia putihkan baju kusam guna bahan di dapur! Cuka dan lemon antara paling berkesan
MENARIK DIBACA: Jangan panik! Madu dan minyak kelapa berkesan rawat tangan melecur terkena minyak panas
Laporan media mengesahkan bahawa keadaan budak itu stabil dan rantai kunci tersebut berjaya dikeluarkan tanpa perlu menjalani pembedahan.
Bimbang akan keselamatannya, ibu bapa kanak-kanak itu segera membawanya ke Hospital Luodong Boai, di mana doktor mengesahkan mainan kecil itu tersangkut di dalam ususnya.
Melalui perkongsian di media sosial, ibu bapa memuat naik gambar X-ray yang menunjukkan rantai kunci berukuran kira-kira 2.8 cm x 1.4 cm berada di dalam usus anak mereka.

Menurut pakar pediatrik, Dr. Hsieh Chintung, rantai kunci tersebut sudah bergerak ke usus kecil dan kanak-kanak itu berada dalam keadaan stabil.
Oleh kerana tiada tanda kesakitan atau halangan usus, pembedahan tidak diperlukan.
Sebaliknya, doktor menasihatkan keluarga agar terus memantau keadaan anak itu di rumah sambil menunggu rantai kunci keluar secara sendiri.
Dr. Hsieh turut memberi amaran bahawa jika muncul simptom seperti sakit perut teruk, muntah atau sembelit yang berpanjangan, rawatan perubatan segera mesti diambil.
Kemas kini terkini daripada ibu bapa di media sosial mengesahkan rantai kunci Ultraman itu akhirnya berjaya dikeluarkan dengan selamat.