“Niat betul-betul nak bawa suami” - Pembeli terpantas sambal KA
NAK ’berperang' untuk dapatkan produk terbaharu Khairul Aming (KA) iaitu Sambal Nyet Bilis bukan mudah, inikan pula nak jadi antara pembeli terpantas untuk menang tiket ke Dolomites, Itali.
Bagaimanapun, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil seandainya ia sudah tertulis sebagai rezeki.
Begitulah apa yang dirasai seorang wanita dikenali sebagai Batrisyia Nawawi apabila berjaya muncul sebagai salah seorang pemenang peraduan berkenaan.

Menerusi perkongsian di media sosial, Batrisyia meluahkan rasa tidak percaya selepas namanya diumumkan sebagai pemenang tempat keempat dan bakal ke Dolomites bersama KA.
“Ya Allah masih tak percaya menang tiket pergi Dolomites. Thank you sangat-sangat for this rezeki @khairulaming. Masih bergegar lagi tangan ni!” katanya.
Batrisyia berkongsi hantaran tersebut selepas namanya diumumkan sebagai pemenang tempat keempat dalam siaran langsung jualan pertama Sambal Nyet Bilis yang berlangsung pada Jumaat malam.
Tidak hanya berkongsi kegembiraan, wanita itu turut mendedahkan beberapa tip yang digunakan ketika cuba mendapatkan sambal berkenaan secepat mungkin.
MENARIK DIBACA:Berniaga dari bangunan tertinggi Malaysia, sambal KA 'sold out' tak sampai 2 minit
MENARIK DIBACA:Nak ‘battle’ Sambal Nyet Bilis, trip Itali? Khairul Aming kongsi tip pemenang terdahulu
Antaranya termasuk memastikan kelajuan internet, peranti yang digunakan serta pemilihan bank ketika melakukan pembayaran.
Menurut Batrisyia, perkara paling penting adalah niat dan keyakinan.
“Niat betul-betul nak bawa suami. Guna duit suami, berkat rezeki suami dengar cakap isteri.
“Saya duduk dan menetap di Kuching, Sarawak! Tak semestinya kena tinggal Semenanjung baru dapat tiket,” ujarnya.

Perkongsian tersebut mengundang perhatian netizen yang turut teruja dengan pencapaian wanita berkenaan, apatah lagi apabila dia berjaya ‘bertarung’ mendapatkan Sambal Nyet Bilis dari Kuching, Sarawak.
Sebelum ini, KA mencipta sejarah apabila produk terbaharunya, Sambal Nyet Bilis, mencatat jualan RM2 juta dalam tempoh hanya satu minit 51 saat.
Jualan tersebut berlangsung menerusi siaran langsung yang diadakan di Merdeka 118, dengan Khairul Aming turut mengumumkan lima nama pembeli terpantas yang memenangi peluang untuk ke Dolomites, Itali.