Buat masak lemak cili api letak kayu manis, bunga lawang... Wanita 'angin' resepi dikritik mentua
SETIAP keluarga mempunyai resipi dan cara masakan tersendiri yang biasanya telah diwarisi sejak turun-temurun.
Dalam perkara ini harus diingat bahawa apa yang dianggap 'kebiasaan' dan enak bagi keluarga kita mungkin pelik atau berbeza pada pandangan orang lain.
Perbezaan seperti ini wajar diraikan, sekali gus menjadikan dunia masakan lebih 'meriah' dan menarik untuk diterokai.
Malangnya, masih ada individu yang gemar mengkritik atau memperlekehkan cara masakan orang lain tanpa memikirkan hati dan perasaan mereka.

Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas masakannya dikritik secara terbuka oleh ibu mentua hanya kerana dianggap menggunakan bahan 'pelik' dalam ayam masak lemak cili api.
Menerusi hantaran yang dikongsikan di Threads, wanita tersebut mengakui berasa kurang senang terhadap individu yang suka mengkritik cara masakan orang lain.
Dia mengakui kurang senang apabila masakannya dikritik oleh ibu mentua, hanya kerana perbezaan cara masakan.

"Aku paling tak suka orang yang suka 'condemn' masakan orang. Kalau kau pandai masak sekali pun, cuba hormat orang lain punya cara masakan.
"Semalam aku masak ayam masak lemak cili api, tapi cara keluarga aku, letak kayu manis dan bunga lawang.
"Ibu mentua aku bila rasa, dia terus cakap letak kayu manis ke sambil buat muka berkerut," ceritanya.
Lebih membuatkan hatinya sakit apabila ibu mentua tanpa berlapik menyatakan masakan tersebut 'busuk'.
MENARIK DIBACA: Cili Kampung - Dotty’s bergabung, perkukuh jenama halal premium sajian Melayu dan artisanal
MENARIK DIBACA: ZUS Coffee buka outlet pertama di Jakarta, sedia bersaing dengan jenama kopi tempatan
Kata wanita itu, sejak kecil dia memang sudah terbiasa dengan masakan sebegitu, malah keluarganya sendiri menggunakan kulit kayu manis dan bunga lawang dalam masak lemak cili api.
"Aku jawablah memang keluarga kami semua masakan macam ni. Memang dah diajar sejak kecil. Mak saya pun macam macam ni juga, dah biasa.
"Anak mak (suami) pun suka makan yang macam ni. Terus dia diam.
"Maksud aku, kalau kau tak letak benda tu (kulit kayu manis dan bunga lawang), suka hati kamulah, jangan 'condemn' cara orang lain masak," katanya.

Kata wanita itu lagi, selama ini dia tidak pernah mengutuk masakan ibu mentua walaupun ada antara masakannya tidak sedap.
"Dalam masak memasak ni, tak ada yang betul dan tak ada yang salah.
"Asal kena dengan tekak masing-masing, kira jadilah tu," luahnya kesal.
Di ruangan komen, ramai netizen berkongsi rasa pelik dan tertanya-tanya tentang masak lemak cili api menggunakan kulit kayu manis dan bunga lawang.

Wanita itu berkata dia mempunyai darah campuran Minang (Indonesia) dan Melayu (Malaysia).
"Mak saya memang asal Malaysia, ayah pula Minang dari Indonesia.
"Rasa lebih kurang sama, cuma ada bauan kayu manis dan bunga lawang, itu je.
"Tak kacau pun rasa lemak tu kalau ikut tekak saya, tekak orang lain saya tak tahu," jawabnya.