Hasif Upin nak muntah makan nasi lemak matcha, seram tengok ayam hijau - "Tak rasa bersalah ke?"
TAK dinafikan, minuman matcha kini makin popular dan menjadi kegilaan ramai terutama dalam kalangan pencinta teh.
Tapi tak sangka pula ada yang sanggup menjadikan matcha sebagai perisa kepada hidangan kegemaran masyarakat Malaysia iaitu nasi lemak.
Apa yang menjadi tanda tanya, adakah rasa matcha sedikit pahit itu sesuai untuk hidangan nasi lemak yang terkenal dengan sambal pedas dan berlemak?
Menerusi perkongsian video TikTok milik penyanyi dan pempengaruh Hasif Upin, dia dilihat membuat reviu dengan mencuba sendiri hidangan nasi lemak matcha tersebut.
Apa yang mencuri perhatian, bukan warna nasinya saja hijau terang, malah ayam goreng turut disaluti dengan sos matcha berwarna hijau sehingga mengundang rasa pelik.

Menurut Hasif, atau Muhamad Hasif Sharaudin, 33, 'rupa' hidangan itu langsung tidak menaikkan selera malah membuatkan dia berasa 'gerun' untuk mencuba.
“Tak rasa bersalah ke dia buat macam ni. Allah, ayam dia mematikan (selera)! Nampak seram dan mistik rupa ayam dia,” katanya.
Dalam video itu, Hasif turut menabur serbuk matcha tambahan yang diberikan peniaga ke atas nasi sebelum mencampurkannya bersama sambal tumis.
Bagaimanapun, selepas suapan pertama, dia menyifatkan rasanya sebagai pelik dan sukar diterima tekak sehingga tidak mampu menghabiskan makanan itu.
"Aku rasa gabungan nasi lemak dengan matcha memang tak kena dan aku rasa nak muntah,” ujarnya memberi pendapat peribadi.
MENARIK DIBACA: Selamba Hasif Upin telan donut topping sambal, bawang putih pula paling ‘rare’
MENARIK DIBACA: Wanita masuk hospital selepas 6 bulan amal minum matcha
Di ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa kurang senang dengan idea berkenaan.
Malah ramai menyifatkan tindakan penjual tersebut seolah-olah cuba merosakkan hidangan tradisional demi mengejar trend semasa.
“Dah semua benda dia nak 'matcha'kan, dulu semua cheese.
“Orang yang jual tu dia tak rasa dulu ke?
“Merosakkan makanan tradisi Melayu. Idea bodoh mana yang campur-campur ni," antara komen netizen.