3 bulan mengidam, suami tak layan! Ibu hamil cari individu sudi masakkan ayam goreng
KEHAMILAN tentunya berita paling ditunggu-tunggu setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga.
Hakikatnya, fasa ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui kerana wanita hamil berdepan pelbagai cabaran mental dan fizikal sepanjang sembilan bulan mengandung.
Selain masalah kesihatan dan emosi yang tidak stabil akibat perubahan hormon, ibu mengandung juga sering mengidam pelbagai jenis makanan dan minuman.
Ada kalanya keinginan tersebut dipenuhi, tapi jika tidak bernasib baik, ia mungkin terpaksa dipendam begitu sahaja.

Itulah yang dilalui seorang wanita yang kini hamil enam bulan apabila hasratnya untuk makan ayam goreng kunyit tidak kesampaian.
Menurut perkongsiannya di media sosial, dia sudah lama menyimpan keinginan untuk menikmati hidangan tersebut, tapi permintaannya diabaikan oleh suami.
“Sekarang saya tengah 'pregnant' anak pertama, dah enam bulan dan terliur sangat nak makan ayam goreng kunyit yang seketul-seketul tu, nak makan cecah kicap.
“Kita minta dengan suami dah tiga bulan, tapi suami selalu cakap 'boleh tak jangan ikut sangat mengidam tu, makan saja apa yang ada',” katanya.
Disebabkan terlalu mengidam, wanita itu bertindak membuka akaun palsu di Threads semata-mata untuk mencari individu yang boleh memasakkan hidangan tersebut untuknya.
MENARIK DIBACA: Air kelapa redakan ‘morning sickness’, cegah jangkitan saluran kencing ketika hamil
MENARIK DIBACA: Saiz dapur kecil bukan masalah, ada cara deko agar nampak luas dan praktikal
Jelasnya, dia hanya mahu makan ayam goreng kunyit hasil air tangan orang lain kerana tidak berselera jika memasaknya sendiri.
“Saya terpaksa create fake account untuk buat posting ni. Terliur sangat, yang masak sendiri tak lalu, nak yang orang masak.
“Kalau ada yang boleh tolong buatkan boleh DM ke? Saya bayar. Tak tahan, hari-hari nangis senyap-senyap, nak sangat makan,” ujarnya lagi.
Wanita itu turut menegaskan bahawa dia tidak mempunyai masalah kewangan, sebaliknya hanya ingin memenuhi keinginan yang sukar dipenuhi itu.

Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap nasib wanita berkenaan.
Ada yang mempersoalkan tindakan si suami yang tidak mengambil serius keinginan isterinya.
Tidak kurang juga yang tampil menawarkan bantuan untuk memasakkan ayam goreng kunyit demi membantu wanita tersebut melepaskan keinginannya.
“Saya faham rasa mengidam yang spesifik tu. Baca ini pun saya jadi teringin. Mengidam nak bagi suami akak penampar.
“Lepas ni jangan 'pregnant' lagi, tukar saja suami.
“Awak, meh saya masakkan. Saya duduk Setapak je, dekat sangat dengan awak. Awak bayar lauk saja, makanan saya belanja,” antara komen netizen.