KUALI | Tip & Trik

Saiz dapur kecil bukan masalah, ada cara deko agar nampak luas dan praktikal

Lead Image

KEBANYAKAN rumah terutamanya jenis apartmen mempunyai saiz dapur yang kecil memandangkan ruang keseluruhan kediaman terhad.

Bahagian dapur nampak lebih sempit apabila pemilik menambah kabinet, rak atau meja makan dengan susun atur tidak betul.

Sebenarnya susun atur dan penyimpanan barang-barang memainkan peranan dalam menjadikan dapur anda lebih luas, kemas dan praktikal.

Berikut, Kuali senaraikan lima tip mudah yang boleh dicuba di dapur rumah anda agar lebih teratur:

Rel besi dapat dimanfaatkan pada dinding dapur bagi menjimatkan ruang.

1. Gunakan ruang dinding sebaiknya

Untuk dapur bersaiz kecil, ruang dinding adalah penyelamat dan tempat paling strategik.

Anda boleh pasangkan rak gantung, cangkuk atau rel besi untuk menggantung senduk, periuk kecil, penapis atau tuala dapur bagi menjimatkan ruang.

Ini bukan sahaja menjimatkan ruang kabinet tetapi juga membuat peralatan mudah dicapai ketika memasak.

Perabot multifungsi seperti rak pinggan ini dapat menjimatkan ruang atas meja.

2. Pilih perabot multifungsi

Utamakan perabot atau peralatan yang menawarkan lebih daripada satu kegunaan. 

Contohnya gunakan meja lipat yang boleh dilipat dan disimpan apabila tidak digunakan atau rak pusing memudahkan penyimpanan dalam kabinet sudut.

MENARIK DIBACA: Bukan sekadar baja, kulit telur boleh jadi skrub muka dan sumber kalsium kuatkan tulang

MENARIK DIBACA: Kulit risoles mudah pecah selepas digoreng, puncanya ramai tertinggal 2 bahan ini

Perabot sebegini bukan sahaja membantu memaksimumkan ruang malah memastikan susun atur dapur kekal teratur tanpa rasa sesak.

Boleh juga simpan barangan dapur pada rak yang mudah dicapai untuk mengelak kabinet menjadi sesak.

3. Susun ikut kekerapan penggunaan

Susun barangan dapur mengikut seberapa kerap anda menggunakannya. 

Letakkan barang harian di bahagian paling mudah dicapai seperti pada paras mata atau tangan supaya tidak perlu membongkok atau mencapai terlalu tinggi setiap kali memasak.

Barangan jarang digunakan boleh disimpan di rak yang lebih tinggi atau di bahagian belakang kabinet untuk mengelakkan ruang utama menjadi sesak.

Cara ini bukan sahaja mempercepatkan kerja di dapur malah membantu mengekalkan susun atur yang lebih kemas dan teratur.

Hadkan barang yang diletak atas meja kabinet bagi memudahkan pergerakan memasak.

4. Hadkan barang di atas meja kabinet

Ruang meja kabinet ialah tempat utama untuk anda menyiapkan makanan, jadi cuba elakkan meletakkan terlalu banyak barang di atasnya.

Biarkan hanya peralatan yang digunakan setiap hari seperti cerek elektrik atau pemanggang roti serta satu atau dua balang rempah asas.

Semakin lapang permukaan kabinet, semakin selesa dan mudah pergerakan semasa memasak.

Anda boleh gunakan pembahagi laci untuk mengasingkan sudu, pisau dan peralatan lain.

5. Gunakan pembahagi laci dan kabinet

Laci dan kabinet yang berselerak boleh membuatkan dapur kelihatan lebih sempit. 

Jadi untuk kekal teratur, anda boleh gunakan pembahagi laci bagi mengasingkan alatan sudu, pisau dan peralatan kecil lain.

Manakala, anda juga boleh gunakan kotak penyimpanan atau rak kabnet untuk mengumpulkan barang seperti rempah dan sos.

Dengan susunan yang lebih teratur, anda dapat mencari barang dengan lebih cepat dan menjadikan kerja di dapur lebih lancar.

bell-light

Jadilah sebahagian daripada geng Kuali! Follow kami di Instagram, TikTok, YouTube dan Facebook

ARTIKEL SEBELUM
KUALI | Tip & Trik

Ingatkan susah! Senang betul tengok ‘Anna whats cooking’ buat telur masin

ARTIKEL BERIKUT
KUALI | Tip & Trik

Dah guna macam-macam produk, tetap bau busuk! Ketulan ais dan cuka antara petua cuci sinki dapur

Terhangat