Dah guna macam-macam produk, tetap bau busuk! Ketulan ais dan cuka antara petua cuci sinki dapur
TANPA disedari sinki di dapur merupakan bahagian paling kotor, dipenuhi bakteria dan kuman disebabkan ia sentiasa lembap.
Perkara itu tidak dapat dielak kerana sinki digunakan setiap hari untuk mencuci pinggan, mencuci bahan mentah dan sebagainya.
Tanpa penjagaan betul, sinki mudah kotor, berbau dan dipenuhi kotoran degil.
Tapi ramai pula tahu yang ada bahan-bahan di dapur boleh digunakan untuk membersihkan sinki tanpa perlu menggunakan bahan pencuci berkimia.
Berikut ialah lima petua mudah dan selamat untuk dicuba di rumah.

1. Soda bikarbonat dan cuka
Soda bikarbonat merupakan bahan serba guna yang dapat membantu menyerap bau dan membersihkan minyak.
Apabila dicampur dengan cuka, ia menghasilkan tindak balas berbuih yang membantu menanggalkan kotoran dalam sinki serta saluran.
MENARIK DIBACA: Rasanya berlemak menggoda selera, ini resipi akok cara orang Kelantan
MENARIK DIBACA: Rajin-rajin makan bayam dan ubi keledek, mampu atasi masalah rambut gugur
Taburkan soda bikarbonat di sekitar permukaan sinki kemudian tuangkan cuka dan biarkan beberapa minit sebelum dibilas dengan air panas.
Hasilnya, sinki lebih bersih tanpa bau tidak menyenangkan.

2. Garam dan lemon
Jika sinki 'stainless steel' kelihatan pudar, kombinasi garam dan lemon mampu mengembalikan kilat.
Garam bertindak sebagai bahan ‘scrub’ semula jadi manakala lemon mengandungi asid sitrik melarutkan kotoran dan meninggalkan bau segar.
Gosok permukaan sinki menggunakan lemon yang telah ditabur garam kemudian bilas sehingga bersih.

3. Air panas dan sabun cecair
Kadangkala sinki berlemak akibat sisa masakan atau minyak dari periuk dan pinggan.
Cara paling mudah ialah mencampurkan air panas dengan sedikit sabun pencuci pinggan.
Siram larutan ini ke seluruh sinki dan gosok menggunakan span.
Hasilnya ia bukan sahaja membersihkan minyak malah membantu mensteril dan menghapuskan bakteria.

4. Pes baking soda
Untuk kesan-kesan degil dan kerak ringan, pes baking soda adalah pilihan terbaik.
Campurkan sedikit air dengan baking soda sehingga menjadi pes pekat, sapu pada kawasan bermasalah dan gosok menggunakan berus lembut.
Kaedah ini selamat untuk permukaan sinki dan berkesan menanggalkan kotoran tanpa mencalarkan permukaan.

5. Ais batu dan cuka
Bau busuk biasanya datang dari saluran sinki yang dipenuhi sisa makanan.
Petua mudah adalah masukkan beberapa ketul ais batu ke dalam saluran kemudian tuang setengah cawan cuka.
Biarkan beberapa minit sebelum siram dengan air panas.
Kaedah ini membantu melonggarkan sisa melekat, memecahkan lapisan minyak serta menyegarkan semula saluran sinki.