Pertama kali 'dating', pemuda geram kenalan wanita 'order' macam-macam! Anggap tiada 'common sense'
TULAR di media sosial perkongsian seorang lelaki yang meluahkan rasa kurang senang selepas keluar 'dating' kali pertama dengan seorang wanita.
Menerusi perkongsian tersebut, lelaki itu mendakwa wanita itu tanpa segan silu memesan pelbagai hidangan seperti siakap, tomyam, kailan ikan masin dan sup tulang.
Lebih mengejutkan, wanita itu turut membungkus makanan untuk dibawa pulang kepada ahli keluarganya.
"First date bantai siakap, kailan ikan masin, sup tulang, tomyam campur. Kerja gila perempuan ni," luahnya di Threads.
Menurut lelaki berkenaan, dia menganggap wanita terbabit tidak mempunyai common sense dan bersikap keterlaluan, apatah lagi dalam situasi janji temu pertama.
Kenyataan lelaki itu bagaimanapun mendapat kecaman sebahagian warganet.
"Baru lepak kedai tomyam dah ungkit macam-macam kau ni. Engkau pun bawa dia pergi kedai tomyam je bukan pergi restoran lima bintang. Lepas itu kalau tak berkira, motif post kat Thread ni untuk apa?" komen salah seorang netizen.

Dalam perkongsian lain, seorang wanita turut mengulas isu tersebut menerusi laman Threads miliknya.
"Tadi ada nampak lelaki buat Thread cakap pasal dia pergi first date, perempuan 'bantai' ikan siakap, tomyam dan siap bungkus nasi untuk adik. Dia 'merentan' kata perempuan tak ada common sense, aduh makan tomyam je. Mahal sangat ke tomyam tu," tulisnya.
Di ruangan komen, rata-rata netizen tampil dengan pandangan berbeza.
MENARIK DIBACA: Sambal belacan udang bakar, dijamin tak cukup sepinggan nasi
MENARIK DIBACA: Cuba pecah rekod dunia, Oriental Kopi sasar jual 10,000 nasi lemak dalam masa 8 jam
Ada yang berpendapat lelaki sepatutnya tidak berkira soal makanan malah wanita sering menjadikan perkara ini sebagai ukuran kepada sikap sebenar mereka dalam hubungan.
"Apa yang saya belajar sebelum kahwin ialah carilah lelaki yang tak berkira tentang makanan, bila bab makan pun dia boleh bertolak ansur. InsyaAllah benda lain pun akan jadi lebih mudah," kata seorang warganet.
Tidak kurang juga yang mengecam hebat pandangan wanita tersebut yang dianggap tidak menjaga adab apabila makanan dimakan dibayar oleh orang lain.
"Belajar lagi tentang common sense dan adab. Bila orang nak belanja kita sebagai orang yang diajak kena berpada-pada dalam memilih makanan.

"Tentang membungkus makanan untuk dibawa pulang tu dah menunjukkan yang orang tu langsung tak ada adab.
"First date dah minta bungkus untuk adik? Lepas tu harapkan lelaki bayar tanpa rasa bersalah? Girl kalau miskin buat cara miskin.
"Common sense la kak. Tak semua ada rezeki lebih dan kadang-kadang cukup untuk belanja awak je. Tapi tak apalah pemikiran orang lain-lain. Mungkin bagi orang yang tak ada common sense anggap benda ni kelakar.
"Maaf walaupun saya tak berkira bab makan, mampu belanja siakap, tomyam special dan mampu belanja satu keluarga besar tapi untuk permulaan janji temu agak tidak sopan jika wanita berlebihan. Wanita yang terbiasa senang macam mana pun biasanya akan segan dan berbincang dulu nak makan apa. Melainkan lelaki tawarkan bersungguh barulah kita pesan dan makan sama-sama.," antara komen netizen.